GPS serah kepada kebijaksanaan Agong

Politics
23 Nov 2022 • 1:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam soal pelantikan perdana menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

GPS dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Malaysia yang melibatkan penyertaan mereka bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

GPS merupakan gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ahad lepas GPS mengumumkan persetujuan untuk membentuk gabungan bersama PN, BN dan GRS bagi membentuk kerajaan Persekutuan dengan memilih Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

“Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media bagi mengumumkan perkara itu di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.