
Kerjasama Strategik antara Grab dan Everrise dalam Era Runcit Moden
Grab Ambil Alih Everrise, Rangkaian Pasaraya Premium Terbesar di Malaysia Timur. Dalam satu inisiatif yang mengutamakan transformasi digital, Grab telah bergandingan dengan peruncit premium terbesar di Malaysia Timur, Everrise. Kerjasama melalui pengambilalihan pasaraya Everrise oleh Grab Malaysia bertujuan untuk mendigitalkan operasi pasar raya serta menyediakan kemudahan penghantaran barangan runcit atas permintaan kepada lebih ramai pengguna.
Grab dan Everrise akan menyepadukan teknologi termaju Grab ke dalam operasi pasar raya Everrise. Langkah ini diharapkan dapat menawarkan pengalaman membeli barangan runcit secara dalam talian yang setanding dengan pembelian secara langsung di kedai, disertai pilihan penghantaran yang efisien dan berpatutan.

Teknologi dan kepakaran Grab bakal memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan
Menurut Pengarah Eksekutif Everrise, Jeffrey Sia, inisiatif ini merupakan respon kepada keperluan untuk melakukan perubahan operasi secara digital agar selari dengan tuntutan pelanggan yang semakin berkembang. “Grab memiliki teknologi dan kepakaran terbaik untuk memberikan pengalaman penghantaran barangan runcit dalam talian yang unggul, dengan fokus kepada keperluan pelanggan,” katanya.
Ruang istirahat khas Grab bakal dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
Selain itu, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Grab Malaysia dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), inisiatif ini turut melahirkan ruang istirahat khas Grab di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan keselesaan pengunjung, tetapi juga sebagai platform untuk mempromosikan peniaga tempatan Sarawak melalui program seperti “GrabFood 5-Star”, program bimbingan dan literasi kewangan, pendigitalan Pasar Tani/Tamu, serta pilihan mobiliti mampan.
Keseluruhannya, inisiatif ini mencerminkan usaha bersepadu untuk mendigitalkan pelbagai aspek kehidupan harian, dari segi runcit hingga kepada sektor pelancongan. Langkah ini sejajar dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini melalui pelancongan pintar dan digital.
Ini pula inisiatif digital yang dibawa oleh Grab ke Sarawak sebelum ini

