Grab jalin kerjasama dengan Klean, F&N dan MRANTI perkenal mesin layan diri AI di Lembah Klang

1 Nov 2023 • 9:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Grab jalin kerjasama dengan Klean, F&N dan MRANTI perkenal mesin layan diri AI di Lembah Klang

zulfadli

01/11/2023 - 09:38

KUALA LUMPUR 1 Nov - Grab Malaysia bekerjasama dengan pemimpin industri Klean, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) melancarkan 18 buah 'Reverse Vending Machines (RVM)' yang digerakkan kecerdasan buatan (AI) di lokasi-lokasi strategik sekitar Lembah Klang.

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada projek perintis Grab, yang bertujuan untuk mendorong perubahan mampan, menggalakkan kitar semula dan menyokong komitmen Grab bagi mencapai sifar sisa pembungkusan di alam semula jadi menjelang 2040, dengan memudahkan pengguna menyumbang kepada Malaysia yang lebih hijau.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementerian sedang giat berusaha daripada setiap penjuru untuk menamatkan penggunaan plastik sekali guna yang tidak terbiodegradasi.

Katanya, selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, pihaknya komited untuk menggalakkan alternatif dan bahan mampan dalam pengeluaran plastik.

"Mesin RVM yang diperkenalkan melalui usaha kerjasama ini bukan sahaja sejajar dengan matlamat hala tuju kami tetapi juga menyediakan jalan untuk kedua-dua peniaga dan pengguna untuk merealisasikan perubahan yang diingini.

"Kami berharap kerjasama ini akan menjadi dorongan kepada organisasi lain di Malaysia untuk turut serta dalam usaha mencapai Malaysia yang lebih mampan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo pula berkata, pihaknya menyedari sisa pembungkusan makanan adalah hasil sampingan yang tidak dapat dielakkan daripada platform penghantaran makanan mereka.

image is not available

Katanya, perubahan perlu dilakukan di seluruh rantaian nilai, dan pihaknya komited mencari dan membangunkan rumusan mampan dan inklusif secara proaktif.

"Daripada sudut pandangan pengguna, cara sumbangan adalah mudah untuk dilakukan, masukkan bekas makanan plastik yang sudah dicuci, imbas kod QR RVM dan tebus baucar menggunakan mata Klean yang terkumpul," katanya.

Projek perintis itu dijadualkan berjalan selama enam bulan, yang mana setiap RVM yang beroperasi sepenuhnya bersedia untuk menerima bekas makanan plastik, serta tin aluminium dan botol Polyethylene terephthalate (PET) yang biasanya dikumpulkan untuk dikitar semula.

Sisa plastik kemudiannya akan dikumpul oleh Asasrama Sdn Bhd, sebuah syarikat pemproses beriktiraf, untuk dikitar semula menjadi bahan mentah palet/serpihan PP dan PET baharu, dan dimanfaatkan semula dengan menjadikannya produk baharu seperti pakaian, tampalan perabot dan perabot/kotak plastik. - DagangNews.com