Grab Malaysia Aktifkan #BantuanBanjir Bersama MERCY Malaysia Bantu Mangsa Terjejas

LocalEnvironment
18 Dec 2025 • 10:05 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Grab Malaysia sekali lagi mengaktifkan kempen #BantuanBanjir dengan kerjasama MERCY Malaysia bagi membantu komuniti yang terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Menerusi inisiatif ini, Grab Malaysia menggalakkan rakyat Malaysia untuk menukarkan GrabCoins kepada sumbangan, sekali gus membantu menyalurkan bantuan penting kepada keluarga yang terpaksa dipindahkan akibat bencana banjir.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), puluhan ribu penduduk di pelbagai negeri terjejas sepanjang musim tengkujuh terkini. Sehubungan itu, dana yang dikumpul melalui kempen #BantuanBanjir akan digunakan bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan, selain menyokong usaha pemulihan jangka panjang di kawasan terlibat.

Sumbangan yang diterima memainkan peranan penting dalam menyediakan keperluan asas, keselamatan serta kestabilan kepada keluarga terjejas, termasuk membantu mereka membina semula kediaman dan meneruskan kehidupan pasca-bencana.

Kerjasama antara Grab Malaysia dan MERCY Malaysia menerusi kempen #BantuanBanjir telah bermula sejak 2021, merangkumi pelbagai usaha bantuan kecemasan serta pemulihan komuniti jangka panjang. Antara fokus utama termasuk pembinaan semula rumah, pemulihan infrastruktur asas dan penyediaan sokongan berterusan kepada mangsa yang dipindahkan.

Sejak November 2023, lebih RM1 juta berjaya dikumpulkan melalui kempen ini, sekali gus mencerminkan tahap keprihatinan rakyat Malaysia serta impak kolektif daripada usaha berterusan dalam membantu komuniti yang terkesan akibat bencana alam.

The post Grab Malaysia Aktifkan #BantuanBanjir Bersama MERCY Malaysia Bantu Mangsa Terjejas appeared first on Siakap Keli.