Grab Memperkenalkan 13 Ciri Baharu Untuk Pasaran Asia Tenggara Seperti Cash Loan dan Grab More

LocalTechnology
8 Apr 2026 • 1:26 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Hari ini, Grab telah mengadakan acara GrabX kedua mereka di Jakarta, Indonesia, yang mana ia telah memperlihatkan sejumlah besar ciri-ciri baharu yang akan diperlihatkan kepada jutaan pengguna aplikasi tersebut sepanjang tahun ini.

image is not available

Anthony Tan, CEO Grab hari ini telah mengumumkan sebanyak 13 ciri-ciri baharu untuk pihak pengguna, rakan pemandu dan penghantaran dan juga klien-klien Grab supaya mereka boleh memanfaatkan aplikasi tersebut untuk lebih banyak tujuan lagi.

image is not available

Dibawah semua teknologi-teknologi baru ini ialah Grab Intelligence Layer, yang merupakan infrastruktur kecerdasan buatan yang dibina menggunakan data daripada 20 bilion titik pemanduan dan penghantaran barang untuk membolehkan proses-proses ini dilakukan secara lebih cepat dan juga cekap.

Group Ride merupakan ciri perkhidmatan seru-pandu yang membolehkan anda untuk berkongsi perjalanan anda bersama penumpang-penumpang lain yang mahu ke destinasi sama bersama anda. Ciri ini menggunakan teknologi AI Grab untuk memberitahu pemandu bahawa beliau boleh mengambil beberapa penumpang lain yang berdekatan untuk ke destinasi sama seperti anda, dan ini boleh menurunkan harga kos perkhidmatan seru-pandu anda sebanyak 40 peratus.

image is not available

Malah, ciri ini juga boleh digunakan untuk mengambil tiga lagi penumpang yang merupakan rakan-rakan untuk menghantar kumpulan anda ke destinasi anda.

Ciri ini sudahpun diperkenalkan di pasaran Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand. Ia akan dilancarkan di Vietnam pada suku ketiga tahun ini.

Ciri Grab More pula membolehkan pengguna untuk memesan makanan daripada lebih dari satu lokasi makanan yang berdekatan melalui satu pesanan sahaja tanpa tambahan bayaran minima, dan akan disuaikan oleh sistem AI Grab untuk membolehkan rakan penghantaran mengambil pesanan-pesanan tersebut dengan lebih cekap.

image is not available

Ciri ini dikatakan sudahpun diuji dan digunakan di pasaran Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam dan kelak akan diperkenalkan di pasaran-pasaran lain.

GrabMaps untuk Pengguna mungkin salah satu daripada pengumuman paling besar yang dilakukan oleh Grab. GrabMaps merupakan sistem pemetaan dan GPS yang dibangunkan menggunakan teknologi pemetaan sumber terbuka OpenMaps, dan sudah digunakan oleh rakan pemandu dan penghantar Grab sejak beberapa tahun lepas.

image is not available

Tidak lama lagi, GrabMaps boleh digunakan oleh pengguna-pengguna biasa, dan data seperti kesesakan lalu-lintas, cuaca dan sebagainya akan disumberkan oleh rakan pemandu dan penghantaran makanan dan barangan Grab sendiri, supaya data tersebut sentiasa dikemaskini sepanjang masa.

image is not available

GrabMaps juga boleh digunakan untuk mencari lokasi pengecasan kenderaan elektrik dan kawasan parkir kereta sekiranya mereka perlu berhenti sebentar. Sistem kecerdasan buatan terbina membolehkan pengguna untuk membandingkan jumlah wang yang perlu dibelanjakan untuk perjalanan anda, sama ada anda memandu atau menggunakan perkhidmatan seru-pandu Grab.

image is not available

Pengaktifan ciri GrabMaps untuk pengguna akan diumumkan kelak.

Setelah memperkenalkan perkhidmatan BNPL, Grab kelak akan memperkenalkan perkhidmatan pinjaman wang pula melalui Cash Loan, yang menggunakan data pembayaran pada aplikasi Grab anda untuk menentukan berapa banyak pinjaman wang yang boleh diberikan kepada anda. Grab kelak akan mengumumkan butiran mengenai ciri ini.

image is not available

Cash Loan sudahpun mula diperkenalkan di pasaran Filipina sebelum ini, dan akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia dan Thailand pada pertengahan tahun ini.

Pada tahun lepas, kami telah melaporkan bahawa Grab mengumumkan kerjasama dengan syarikat pembangun perkhidmatan AI Anthropic, dan di acara GrabX, Grab telah mengumumkan pembantu digital AI mereka sendiri yang memudahkan anda untuk membuat keputusan besar seperti mencari tempat makan ataupun membuat tempahan makanan untuk kumpulan besar.

image is not available

Pembantu AI Grab ini kemudiannya akan menggunakan sejarah penggunaan aplikasi Grab anda untuk memberi cadangan-cadangan terbaik dan ia kemudiannya terserah kepada anda sekiranya anda mahu menggunakan cadangan tersebut. Selain daripada itu, ia juga boleh digunakan untuk memesan barangan runcit dengan cepat dan mudah.

Ciri ini sudahpun diperkenalkan di Singapura, dan akan ditawarkan di pasaran Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam menjelang penghujung tahun ini.

Jika anda gemar melancong atau mengembara ke lokasi-lokasi di Asia Tenggara, Grab juga telah memperkenalkan ciri-ciri baru yang memudahkan pengalaman percutian anda.

Kelak Grab akan memperkenalkan ciri dompet pengembaraan yang akan merumahkan dokumen-dokumen penting seperti tiket penerbangan, butiran pintu penerbangan, pengumuman sebarang perubahan masa dan juga pengingatan untuk anda sentiasa memeriksa jika pasport anda adalah bersama anda. Ciri ini juga boleh memberitahu anda dimanakah karousel bagasi anda apabila anda mendarat.

image is not available

Ciri ini akan diperkenalkan di pasaran-pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina pada suku ketiga tahun ini.

GrabStays pula ialah ciri menempah bilik hotel yang menggunakan Nuitee, sebuah perkhidmatan menempah bilik hotel yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan untuk membolehkan anda menempah bilik hotel di saat terakhir.

image is not available

Ciri ini akan diperkenalkan untuk pasaran Singapura pada Mei 2026, dan akan ditawarkan di Malaysia pada suku ketiga tahun ini.

Ciri yang paling kami suka ialah GrabPay For Travel, iaitu fungsi imbasan kod QR pembayaran tempatan di negara-negara yang akan mengambil bahagian. Dengan aplikasi Grab, anda hanya perlu memautkan butiran kad debit atau kredit anda, dan aplikasi Grab boleh mengimbas kod-kod QR seperti DuitNow di Malaysia atau QRIS di Indonesia, dan pembayaran boleh dilakukan terus menggunakan kad pembayaran pengguna tanpa memerlukan input selanjutnya.

Ciri ini akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dan Filipina pada suku ketiga tahun ini, dan di pasaran Singapura dan Thailand pada penghujung tahun ini.

Discover by Grab merupakan ciri cadangan makanan, dan sangat berguna sekiranya ia merupakan kali pertama anda berada di bandar atau negara tersebut. Grab akan mengumpul “ulasan-ulasan” yang ditulis oleh pengguna Grab yang merupakan penduduk di kawasan tersebut, dan ia sedikit sebanyak boleh membantu pengguna untuk membuat keputusan apakah makanan yang patut dicuba untuk kali pertama.

image is not available

Ciri ini sudah mula ditawarkan di pasaran Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand, dan akan diperkenalkan di pasaran Malaysia pada penghujung tahun ini.

Jika anda seorang pemilik perniagaan makanan, Grab juga telah memperkenalkan sejumlah teknologi baru untuk mereka.

Pertama ialah Virtual Store Manager, sebuah perkhidmatan yang menukarkan suapan CCTV menjadi lapisan operasi digital baru dimana ia menggunakan khidmat AI untuk membantu menetapkan masa pembukaan, penjejak kebersihan, kemaskini aturan staf dan kan akan menghantar mesej kepada pemilik perniagaan sekiranya ada apa-apa yang berlaku dan memerlukan perhatian mereka.

Virtual Store Manager kini sedang diuji di pasaran Malaysia dan Thailand.

Cloud Printer ialah teknologi pencetak dan pengimbas pesanan makanan yang dibangunkan oleh Grab. Ia akan menghantar pesanan pengguna terus ke dapur restoran untuk mempercepatkan proses penyediaan makanan. Kod QR makanan yang siap kemudiannya boleh diimbas untuk memberitahu rakan penghantaran bahawa ia sedia untuk dihantar kepada pembeli.

Ciri ini sudah diperkenalkan di Singapura dan Indonesia, dan akan diperkenalkan di pasaran-pasaran Asia Tenggara lain bermula April 2026.

Tap to Pay membolehkan pemilik restoran untuk menggunakan telefon pintar mereka sebagai sebuah terminal pembayaran yang menyokong pembayaran menggunakan kad debit, kad kredit dan juga kod QR.

image is not available

Ciri ini sudahpun mula digunakan di Filipina dan Singapura, dan akan ditawarkan di pasaran Malaysia, Indonesia dan Thailand pada penghujung tahun ini, dan di Vietnam pada tahun 2027.

Untuk rakan pemandu Grab, Driver AI Assistant merupakan pembantu digital AI yang membimbing mereka tentang cara pemanduan yang lebih cekap dan menjana pendapatan lebih. Pemandu boleh bercakap dengannya, meminta nasihat tentang dasar Grab, atau bantuan dengan tugas biasa, seperti menghantar mesej kepada penumpang mereka.

Kebanyakan ciri-ciri ini sudahpun mula diuji atau digunakan di pasaran-pasaran tertentu, tetapi tahun 2026 nampaknya merupakan tahun dimana ia semua akan mula diperkenalkan di sebanyak pasaran yang mungkin.