Bersama-sama pengumuman pagi ini dimana Grab akan bekerjasama bersama-sama dengan Anthropic disamping OpenAI untuk membangunkan teknologi kecerdasan buatan mereka, Grab juga telah memperkenalkan teknologi AI baru yang dibangunkan untuk membantu kedua-dua kumpulan peniaga dan juga rakan pemandu di platform mereka.

Grab telah memperkenalkan dua teknologi AI agentik melalui AI Merchant Assistant dan juga AI Driver Companion yang akan membantu pekedai dan juga pemandu Grab untuk mengoptimasikan perniagaan dan perjalanan mereka dengan lebih lancar.

Bermula dengan AI Merchant Assistant, ia merupakan sebuah chatbot yang menggabungkan penggunaan model bahasaraya bersama-sama dengan data yang boleh didapati melalui aplikasi GrabMerchant untuk memberi pekedai akses kepada data perniagaan mereka dengan cepat dan mudah.
Melalui chatbot ini, pekedai boleh mendapatkan data jualan dan keuntungan mingguan dan bulanan, bantuan dari segi bagaimanakah pekedai boleh menambahkan jualan mingguan dan bulanan mereka, dan mencipta kempen iklan dan promosi yang akan memberi pelanggan mereka lebih banyak pilihan untuk membeli kombo makanan yang lebih menarik.

Tidak lama lagi, AI Merchant Assistant juga boleh memberi pemilik perniagaan pilihan untuk mendapatkan pinjaman kewangan daripada perkhidmatan Grab yang lain seperti Grab Finance dan GX Bank.
Untuk AI Driver Companion pula, seperti yang sedia maklum, jalan-jalan raya di Asia Tenggara merupakan salah satu daripada rangkaian jalan yang agak sukar untuk dikemudi. Ciri AI ini akan diintegrasi didalam aplikasi pemandu Grab Driver untuk membantu rakan memandu Grab menjadi lebih cekap dalam pemanduan mereka.

Ciri AI ini dilihat akan menggunakan sejarah pemanduan pada platform Grab Driver untuk mengesyorkan lokasi-lokasi dimana permintaan untuk rakan pemandu adalah lebih tinggi. Sebelum ini, ciri AI Driver Companion dilihat membimbing para pemandu untuk memandu ke destinasi penumpang dengan lebih cepat dan selamat menggunakan data GPS dan peta digital yang dibangunkan mereka sendiri.
AI Driver Companion juga dikemaskini dengan ciri laporan bersuara, yang akan mengemaskini butiran tentang keadaan jalan terkini kepada pemandu melalui suara AI. Ini bermakna bahawa rakan pemandu Grab boleh menerima maklumat tentang keadaan jalan yang sedang atau akan dilalui dengan lebih cepat, dan AI tersebut boleh memberi cadangan tentang jalan-jalan alternatif yang boleh diambil tanpa perlu pemandu perlu melakukan apa-apa.

Sejak ciri baru ini diperkenalkan, Grab mengatakan bahawa ia telah menerima sebanyak 16 ribu laporan daripada 900 ribu pemandu setiap hari di rantau Asia Tenggara, dan ini telah banyak membantu GrabMaps untuk menjadikan peta tersebut sebagai panduan rakan pemandu Grab menghantar lebih ramai penumpang ke destinasi mereka dengan cepat dan selamat.
Grab mengatakan bahawa AI Merchant Assistant dibangunkan dengan bantuan kedua-dua model bahasa-raya OpenAI dan juga Anthropic untuk memberi pekedai nasihat yang terbaik untuk bagaimana menjalankan bisnes mereka untuk menjana keuntungan yang paling bersih pada satu-satu masa.
Untuk ciri baru yang diperkenalkan melalui AI Driver Companion, Grab telah menggunakan GPT-4o dan Real Time API untuk menyusun dan memberitahu kepada pemandu-pemandu di jalan tentang halangan dan insiden di jalanraya dengan cepat dan tepat.


