Grab Sedang Menguji Perkhidmatan Seru-pandu EV Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

TechnologyDigital
17 Jun 2025 • 6:04 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Beberapa minggu lalu, kedatangan perkhidmatan Grab EV telah diacahkan, dimana Grab menawarkan perkhidmatan seru-pandu kenderaan EV dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke mana-mana lokasi di Lembah Klang.

Kini, ia dapat dilihat bahawa perkhidmatan tersebut telah diaktifkan di lapangan terbang tersebut, dan boleh diakses melalui aplikasi Grab, seperti yang diperlihatkan terlebih dahulu oleh Soya Cincau. Perkhidmatan seru-pandu EV ini nampaknya akan menggunakan kenderaan elektrik BYD M6 berdasarkan penyenaraian pada aplikasi itu sendiri, sesuai jika anda bersama keluarga ataupun kumpulan 4-5 orang.

Harga untuk perkhidmatan serupandu ini juga nampaknya ditetapkan pada harga RM134 berdasarkan beberapa lokasi berbeza yang telah kami sendiri pilih dan uji dari Shah Alam ke bandaraya Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

image is not available

Satu lagi perkara ialah lokasi anda akan menaiki kenderaan ini sedikit berbeza dengan lokasi menaiki kenderaan perkhidmatan seru-pandu sebelum ini. Sebelum ini, semua perkhidmatan seru-pandu perlu mengambil penumpang di tempat menunggu teksi di tingkat satu, tetapi untuk perkhidmatan Grab EV ini, anda boleh menaikinya di aras tiga (ketibaan) di pintu empat yang telah ditetapkan sebagai lokasi tetap khusus untuk perkhidmatan ini.

Kami telah bertanya kepada pihak Grab Malaysia tentang perkhidmatan EV dari KLIA ini, dan mereka mengesahkan bahawa perkhidmatan tersebut sedang berada dalam fasa ujian dan eksperimentasi sebelum ia dilancarkan secara umum tidak lama lagi.