Grab sumbang RM1 juta untuk Program Bantuan Kemanusiaan Gaza MERCY Malaysia

6 Nov 2023 • 5:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Grab sumbang RM1 juta untuk Program Bantuan Kemanusiaan Gaza MERCY Malaysia

zulfadli

06/11/2023 - 17:01

KUALA LUMPUR 6 Nov - Susulan tular tangkap layar hantaran Instagram Stories daripada isteri pengasas bersama Grab, Chloe Tong berhubung mesej simpati terhadap warga Israel, Grab Malaysia hari ini mengumumkan pemberian sumbangan sebanyak RM1 juta untuk Program Bantuan Kemanusiaan Gaza MERCY Malaysia.

Grab Malaysia berkata, pihaknya kekal teguh dengan pendirian pro kemanusiaan dan menyokong usaha ke arah keamanan serta pelaksanaan gencatan senjata.

Katanya, sebagai ahli United Nations Global Compact (UNGC), pihaknya tidak menyokong sebarang bentuk keganasan.

"Sebagai ahli UNGC, kami mendukung prinsip asas UNGC yang menghormati perlindungan hak asasi manusia," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut penyedia perkhidmatan e-hailing itu berkata, individu terbabit telah menjelaskan yang ia adalah pandangan yang disuarakan menerusi platform peribadi, serta diambil di luar konteks sebenar.

Sementara itu, bagi mengatasi keperluan mendesak yang dihadapi komuniti rentan yang terjejas di Gaza, berikutan konflik yang berterusan, Grab Malaysia akan menyumbang bantuan kewangan bernilai RM1 juta melalui MERCY Malaysia.

Grab Malaysia telah menjalin kerjasama yang erat dengan MERCY Malaysia sejak 2021, menerusi pembabitan dalam pelbagai bantuan kemanusiaan di Malaysia, termasuk tabung bantuan banjir serta pengurusan bencana.

image is not available
Tangkap layar hantaran Instagram daripada isteri pengasas bersama Grab, Chloe Tong berhubung mesej simpati terhadap warga Israel yang tular baru-baru ini.

image is not available
Chloe Tong tampil memberi penjelasan bahawa hantaran Instagram Stories miliknya itu telah dimuat naik beberapa minggu lalu dan secara tiba-tibanya telah tular serta mengundang ucapan berbaur kebencian oleh orang ramai.

Pengguna Grab juga boleh menyumbang melalui GrabPay atau menukar GrabRewards mereka untuk menyokong usaha MERCY Malaysia, sekali gus menyumbang untuk membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan individu yang terjejas.

Grab Malaysia turut menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas dengan membantu menyediakan akses kepada perubatan, makanan, bekalan air dan pelbagai lagi, dan mengutamakan kesejahteraan mereka.

Ia juga menekankan komitmennya kepada prinsip kemanusiaan dan keamanan, dan secara keras menentang sebarang keganasan yang melanggar hak asasi manusia. Syarikat itu menyokong sebarang usaha yang membawa kepada keamanan yang berkekalan serta adil.

Grab Malaysia dan MERCY Malaysia sedang bekerjasama untuk mewujudkan program dan inisiatif yang mampan, dalam memastikan kesan positif yang berkekalan kepada pelbagai komuniti yang terjejas, dengan menyasarkan pemulihan segera, daya tahan dan sokongan jangka panjang.

Selain itu, bermula 8 November 2023 hingga 8 Mei 2024, Grab akan memadankan jumlah yang didermakan kepada Tabung Bantuan Palestin MERCY Malaysia melalui GrabRewards, sebagaimana pelaksanaan sumbangan amal melalui GrabRewards sebelum ini. - DagangNews.com