Gracshaw rancang eksport topi keledar ke pasaran Asia Tenggara pada 2024

15 Jun 2023 • 10:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gracshaw rancang eksport topi keledar ke pasaran Asia Tenggara pada 2024

zulfadli

15/06/2023 - 10:09

KUALA LUMPUR 15 Jun - Gracshaw, jenama topi keledar motosikal buatan Malaysia yang diedarkan Double Site Marketing Sdn Bhd, melancarkan topi keledar edisi Jepun baharu.

Menurut wakil pemasaran Double Site Marketing, Farizan Md Akir, topi keledar itu direka bentuk di Pulau Pinang dan dihasilkan di Jitra, Kedah yang mana menjadikan topi keledar ini produk Malaysia sepenuhnya.

Katanya, ia merupakan rangkaian topi keledar paling unik dan menarik daripada Gracshaw dan pihaknya mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkannya daripada peringkat konsep hinggalah kepada pengeluaran.

"Visi kami adalah untuk menawarkan pelindung kepala yang menggabungkan kualiti, keselesaan dan gaya bagi memenuhi kehendak penunggang yang sofistikated dan bergaya

"Pelancaran ini merupakan satu pencapaian penting buat jenama kami. Pada tahun hadapan, kami merancang untuk mengeksport produk kami ke pasaran lain di rantau Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan.

Menurut Farizan, pihaknya percaya produk tersebut dapat menawan hati penunggang motosikal Malaysia yang sudah biasa dengan budaya Jepun termasuk pelbagai ikon, motif dan watak yang dibawakan negara matahari terbit itu.

Reka bentuk Topi Keledar Gracshaw Edisi Jepun dihasilkan berdasarkan keperluan penunggang yang gemar menonjolkan ciri dan gaya individu mereka sendiri semasa menunggang motosikal.

image is not available

Topi keledar khas itu terdiri daripada enam reka bentuk unik, antaranya Kurita, Tsuru, Japop, Tengu, Oda dan Karasu, telah dipersembahkan buat pertama kali di Terengganu Bike Week 2023 baru-baru ini dan menerima sambutan menggalakkan para peminat motosikal.

Gracshaw Edisi Jepun disediakan sebagai topi keledar muka terbuka dwi visor model Gracshaw Gennex yang popular.

image is not available

Harga runcit yang disyorkan bernilai RM420 dan setiap topi keledar dibekalkan dengan beg galas eksklusif untuk perlindungan serta mudah dibawa.

image is not available

Topi keledar Gracshaw Edisi Jepun boleh dibeli secara dalam talian melalui https://shop.gracshaw.com, Kedai Rasmi Gracshaw di Shopee https://shopee.com.my/gracshaw.os dan melalui laman Facebook https://www.facebook.com/gracshaw.

Untuk maklumat lanjut tentang portfolio lengkap produk dan senarai pengedar Gracshaw, sila layari www.gracshaw.com. - DagangNews.com