Graduan PJK kini pengurus ladang ikan

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 11:06 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Graduan PJK kini pengurus ladang ikan

BERMULA dengan hanya impian untuk membina kerjaya dalam bidang akuakultur, Muhammad Halif Heirul Nizem kini membuktikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu membawanya untuk melangkah lebih jauh.

Graduan Diploma Akuakultur dari Politeknik Jeli Kelantan (PJK) itu kini diberi kepercayaan sebagai pengurus ladang di ARC Berkat Agrofood Sdn. Bhd., Bestari Jaya, Selangor yang mengurus ladang berkeluasan kira-kira 150 ekar (60 hektar).

Lebih membanggakan, kemahiran yang dipelajari sepanjang tiga tahun pengajian kini diaplikasikan secara langsung dalam mengurus operasi ladang berkenaan.

Menurut Muhammad Halif, 22, pengalaman mengikuti pengajian di PJK banyak membentuk keyakinan dan kemahirannya sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Sepanjang berada di PJK, banyak perkara yang mengajar saya untuk menjadi graduan yang berkemahiran tinggi.

“Aktiviti dan subjek yang dipelajari dapat saya terapkan dalam pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya kepada K-Kampus ketika ditemui di Terengganu.

Jelas anak jati Johor itu, pendedahan kepada pengurusan kolam dan sistem ternakan ikan antara pengalaman paling banyak membantunya ketika mula bekerja dalam industri.

Katanya, latihan secara praktikal yang diterima sepanjang pengajian memberikan asas kepadanya untuk memahami pengurusan operasi berkaitan ternakan dengan lebih teratur.

“Semasa belajar di PJK, pelajar telah diajar untuk mengurus kolam.

Image from: Graduan PJK kini pengurus ladang ikan
Muhammad Halif bersama keluarga selepas tamat pengajian dalam bidang akuakultur dari Politeknik Jeli Kelantan
(PJK).

“Justeru itu, saya tidak kekok apabila perlu menguruskan ladang ARC yang berkeluasan 150 ekar,” katanya.

Menurutnya, pembelajaran secara amali turut membantunya memahami situasi sebenar yang mungkin dihadapi ketika berada di tempat kerja.

Akuinya, pengalaman mengendalikan aktiviti praktikal membolehkan dirinya lebih mudah menyesuaikan diri dengan tugasan yang memerlukan kemahiran teknikal dan penyelesaian masalah.

“Apabila kita belajar secara praktikal, kita bukan sahaja faham teori tetapi tahu bagaimana untuk melaksanakan sesuatu kerja.

“Jadi, apabila masuk ke alam pekerjaan, kita sudah mempunyai asas dan lebih mudah untuk menyesuaikan diri,” katanya.

Muhammad Halif berkata, bidang akuakultur yang dipelajarinya turut membuka peluang untuk meneroka kerjaya lebih luas dalam sektor agromakanan.

Katanya, graduan bidang berkenaan tidak semestinya terhad kepada pekerjaan berkaitan kolam ikan sebaliknya kemahiran yang dimiliki boleh dikembangkan kepada bidang pengurusan ladang dan operasi.

“Bidang akuakultur bukan hanya berkaitan dengan mengurus ikan atau kolam.

“Dengan kemahiran yang ada, kita boleh pergi lebih jauh termasuk dalam pengurusan ladang dan sektor agromakanan,” katanya.

Ujar anak ketiga daripada empat beradik itu, pengalaman bekerja turut membolehkannya mengembangkan kemahiran yang diperoleh ketika belajar kepada skop tanggungjawab lebih besar.

Dalam pada itu, Muhammad Halif turut mencadangkan supaya kemudahan sistem ternakan ikan di PJK terus dipertingkat bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar menjalani latihan secara praktikal.

Katanya, penambahan kemudahan berkenaan dapat membantu pelajar mendapatkan lebih banyak pengalaman mengendalikan sistem ternakan sebelum menamatkan pengajian.

Tambahnya, kemahiran insaniah seperti komunikasi, disiplin dan kerja berpasukan juga penting selain penguasaan kemahiran teknikal.

“Bila bekerja, kita bukan hanya bekerja seorang diri. Kita perlu berkomunikasi dengan orang lain dan bekerjasama untuk memastikan operasi berjalan dengan baik,” katanya yang berhasrat membuka ladang ikan sendiri kelak.

Muhammad Halif turut menyeru pelajar yang sedang mengikuti pengajian TVET supaya mengambil peluang pembelajaran yang disediakan dengan serius.

The post Graduan PJK kini pengurus ladang ikan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved