Graduan Sabah Pakai Baju Tradisional Bugis di Majlis Konvokesyen Hungary, Raih Perhatian Ramai

18 Mar 2025 • 10:41 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Pelajar Terbaik Dengan CGPA 4.99

Graduan Sabah Pakai Baju Tradisional Bugis di Majlis Konvokesyen Hungary, Raih Perhatian Ramai. Afiqah Izzati Sundusin, graduan kejuruteraan pertanian dari Universiti Szeged, Hungary, bukan sahaja mencuri perhatian kerana kecemerlangan akademiknya tetapi juga kerana keberaniannya memakai pakaian tradisional Bugis serta menjadi rakyat Malaysia pertama yang diberi penghormatan menyampaikan ucapan bagi pihak pelajar semasa majlis graduasi.

Dengan pencapaian purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.99, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini dinobatkan sebagai pelajar terbaik dalam kohortnya. Pada hari istimewanya, dia memilih untuk mengenakan baju Bodo berwarna hijau – pakaian tradisional Bugis yang turut dikenali sebagai baju Tokko. Beberapa ahli keluarganya turut hadir untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

image is not available
Graduan Sabah Pakai Baju Tradisional Bugis di Majlis Konvokesyen Hungary, Raih Perhatian Ramai. Sumber foto: Bernama

Lebih menarik, Afiqah Izzati memulakan ucapannya dalam Bahasa Melayu, sesuatu yang jarang berlaku di majlis graduasi luar negara.

“Saya memulakan ucapan dengan peribahasa Melayu, ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ yang bermaksud kejayaan tidak akan datang tanpa usaha. Peribahasa ini sangat dekat dengan saya kerana kejayaan bukan sesuatu yang mudah dicapai. Saya berpegang kepada prinsip kerja keras, doa dan ketekunan,” katanya kepada Bernama.

Memartabatkan Warisan Bugis di Pentas Antarabangsa

Berketurunan Bugis, Afiqah Izzati tidak menyangka keputusannya untuk memakai pakaian tradisional, yang dibuat bersama keluarganya, akan begitu mendapat perhatian. Malah, media tempatan di Hungary turut melaporkan penampilannya yang unik.

“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia kerana negara kita dikenali dengan masyarakat yang pelbagai kaum, dan saya berasa sama bangga dengan keturunan saya. Memakai pakaian tradisional ini bukan sekadar gaya, tetapi ia cara saya mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia kepada dunia,” katanya, menurut laporan media tempatan.

Menurutnya, kain serta aksesori seperti songkok recca dan tali pinggang bagi baju Bodo tersebut ditempah khas dari Indonesia, manakala jahitan disempurnakan oleh tukang jahit di Sandakan. Proses keseluruhannya mengambil masa kira-kira tiga bulan.

Melangkah Ke Switzerland Demi Ilmu

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Afiqah Izzati berkata dia akan ke Switzerland dari April hingga Julai untuk mengikuti latihan penyelidikan di sebuah pusat kajian di negara tersebut.

“Saya diberi peluang untuk menimba pengalaman di Switzerland dan saya akan manfaatkannya sebaik mungkin. Penyelidikan saya nanti berkaitan dengan kajian yang saya jalankan di Hungary, iaitu mengenai kawalan biologi terhadap rumpai,” jelasnya.

Bercita-cita menjadi saintis dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian, Afiqah Izzati berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada adik-beradiknya untuk cemerlang dalam pelajaran.

Katanya, kedua ibu bapanya telah banyak berkorban untuk membesarkan enam orang anak, dan setiap kali dia berdepan kesukaran, dia akan mengingat kembali usaha serta penat lelah mereka.

“Setiap orang ada cabaran tersendiri, sebab itu penting untuk ada matlamat yang jelas dan berpegang teguh pada kepercayaan masing-masing. Bagi saya, matlamat saya adalah untuk menimba serta mengaplikasikan ilmu yang bermanfaat, sambil sentiasa mengingati keluarga saya,” ujarnya.

Bapanya merupakan seorang pegawai kesihatan persekitaran, manakala ibunya seorang pengurus di sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

Baca juga artikel yang berkaitan pelajar-pelajar cemerlang dari Sabah: