Graduan TVET Sabah catat kebolehpasaran lebih 95 peratus

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2025 • 1:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di Sabah mencatatkan kadar kebolehpasaran melebihi 95 peratus.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, pencapaian itu membuktikan graduan TVET memiliki kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

“Sehingga kini, kebolehpasaran graduan TVET menunjukkan prestasi yang sangat baik, dengan kadar melebihi 95 peratus.

“Selain menyediakan peluang-peluang pekerjaan dengan gaji yang menarik, bidang TVET juga membuka ruang kepada graduan untuk bekerja sendiri dan mencipta peluang pekerjaan baharu dengan kemahiran yang diperolehi.

“Ini membuktikan bahawa TVET bukan sahaja menyediakan kemahiran praktikal yang diperlukan oleh industri, tetapi juga melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan diperlukan oleh majikan untuk membangunkan teknologi baharu bagi merancakkan ekonomi,” kata beliau ketika berucap merasmikan Istiadat Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu ke-29 di Dewan Rafflesia di sini, pada Rabu.

Tun Musa berkata, sejak ditubuhkan 29 tahun lalu, Politeknik Kota Kinabalu telah melahirkan ramai graduan yang mengisi ruang pekerjaan kritikal dalam pelbagai bidang.

“Penubuhan Majlis TVET Sabah pada 19 Mei lalu akan memperkukuh ekosistem latihan teknikal, menyelaras institusi TVET dan memastikan graduan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

“Sebagai salah sebuah institusi TVET utama di Sabah, saya percaya Politeknik mempunyai hubungan kolaborasi strategik yang erat bersama rakan industri dan agensi kerajaan untuk memastikan pembangunan kurikulum dan latihan industri sesuai dengan kehendak semasa,” ujar Tun Musa.

Tun Musa menambah, Politeknik Kota Kinabalu memastikan setiap graduan memenuhi piawaian industry-ready, selain menjadi pemacu inovasi dan digitalisasi yang diperlukan untuk menyokong pembangunan negeri.

Seramai 1,263 graduan diraikan sepanjang majlis konvokesyen selama dua hari itu, menerima diploma dan sijil dalam bidang Kejuruteraan Awam, Elektrikal dan Mekanikal, Perdagangan serta Pelancongan dan Hospitaliti. Sejak penubuhannya, Politeknik berkenaan telah menghasilkan seramai 29,391 graduan.

Pelbagai anugerah khas turut disampaikan termasuk Anugerah Industri, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Anugerah Pengarah serta Anugerah Yang di-Pertua Negeri.

Anugerah Yang di-Pertua Negeri disampaikan kepada NurFaezah Ali @ Mohamad Ali, graduan Diploma Teknologi Berasaskan Kayu, yang turut menerima Anugerah Pengarah bagi Sesi I (2023/2024). Bagi Sesi II, Anugerah Pengarah diterima Lee Zi Ling, graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer).

NurFaezah, berasal dari Keningau dan kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Industri Perkayuan di Universiti Putra Malaysia (UPM), menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya atas sokongan padu mereka.

“Beranilah keluar daripada zon selesa dan jangan mudah berputus asa,” katanya.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah; dan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md Nor Abdul Halim.