Grand Wellness Hub buat laporan polis susulan kemelut kes pembubaran Mines Waterfront Business Park

LocalBusiness & Finance
28 Jan 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Grand Wellness Hub buat laporan polis susulan kemelut kes pembubaran Mines Waterfront Business Park image is not available amree28/01/2026 - 12:10 Oleh Amree Ahmad amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Jan – Grand Wellness Hub Sdn Bhd (GWHSB) membuat laporan polis berikutan kemelut terkini berkaitan kes pembubaran Mines Waterfront Business Park (MWBP) sebagai langkah keselamatan. 


Anak syarikat Country Heights Holdings Berhad (CHHB) itu berkata, laporan tersebut menyentuh penglibatan 23 Century International Life Science Centre Sdn Bhd dan firma Baker Tilly Insolvency PLT.


Pada masa sama jelasnya dalam kenyataan hari ini, laporan itu turut menjelaskan pembabitan sah wakil pembubar yang dilantik oleh mahkamah, iaitu Andrew Heng dan Kumarkuru Jai Prakash Krishnan.


"Laporan polis ini dibuat sebagai langkah pencegahan terhadap kemungkinan berlaku jenayah kolar putih berikutan 23 Century yang secara mengejut diklasifikasikan pula menjadi pemiutang," katanya.


Syarikat berkenaan jelas GWHSB, kemudian membuat tuntutan sebanyak RM1.08 juta, walhal sebelum ini ia hanya dikenal pasti sebagai penghutang dengan tunggakan sewa mencecah kira-kira RM16 juta.


Selain itu, ia mengulangi penegasan masih lagi menolak surat bertarikh 15 Disember 2025 daripada pelikuidasi yang tidak ditandatangani oleh kedua-dua wakil pembubar rasmi dilantik oleh mahkamah.


Sebaliknya surat itu ditandatangani oleh seorang individu yang tidak dikenali, Patrick McPhee, dan menimbulkan keraguan terhadap kesahihan bukti tuntutan hutang (PoD) yang berjumlah RM1.5 juta.


"Bagi menangani isu tersebut, Lembaga Pengarah akan memanggil Mesyuarat Agung Khas Pemegang Saham untuk mendapatkan kelulusan bagi membayar PoD yang dipertikaikan itu," tambah kenyataan GWHSB.


Di samping itu tegas subsidiari tersebut, mesyuarat akan membentangkan resolusi bagi mengaktifkan Seksyen 402 Akta Syarikat 2016, membolehkan syarikat kembali mengawal MWBP daripada Baker Tilly.


Bagaimanapun, perkara berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah dengan sesi pendengaran dijadualkan pada 3 Februari 2026, dan sebagai langkah awal, pihak pengurusan GWHSB sudah membuat laporan polis.


Syarikat tersebut sekali lagi menegaskan komitmen mereka sebagai pemegang taruh korporat secara bertanggungjawab untuk menyelesaikan semua pemiutang tidak bercagar mengikut prosedur PoD yang sah.


"Laporan sama juga dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada kenyataan rasmi bagi maklumat yang tepat dan sahih," katanya.


Pada 23 Disember 2025, CHHB mengambil pendirian tidak memperakui McPhee sebagai wakil pembubar yang mendakwa bertindak bagi pihak pembubar MWBP atas alasan beliau tidak pernah dilantik mahkamah.


Lembaga Pengarahnya mengesahkan bahawa mahkamah hanya melantik dua pembubar rasmi iaitu Andrew Heng dan Kumarakuru dari Baker Tilly, serta terus memantau situasi kemelut pembubaran dengan teliti.


Ia juga mengeluarkan amaran akan mempertimbangkan tindakan undang-undang atau kawal selia jika McPhee gagal memberikan penjelasan dan cuba mengganggu proses pembubaran itu. - DagangNews.com

Terkini standard