amree29/10/2026 - 14:40 PANORAMA keadaan jerebu yang melanda Singapura baru-baru ini. - Gambar BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt — Greenpeace Malaysia mendesak Kerajaan Malaysia agar segera mengikut jejak langkah Singapura dengan menggubal Akta Udara Bersih yang merangkumi peruntukan tegas berkaitan isu pencemaran rentas sempadan.
Desakan itu timbul selepas Singapura mengumumkan cadangan memperkukuh Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadannya, serta memanggil 10 syarikat berpangkalan di negara itu bagi membantu siasatan kes kebakaran hutan di Indonesia.
Sehubungan itu, Greenpeace menerusi kenyataan, mempersoalkan ketetapan dilaksanakan kerajaan Malaysia yang masih terus mendakwa tiada bukti konklusif mengaitkan syarikat-syarikat negara ini dengan insiden kebakaran buruk berkenaan.
"Kami turut meminta kerajaan mendedahkan bukti serta hasil penilaian bebas kepada pengetahuan umum bagi memastikan tahap ketelusan dan melindungi syarikat yang beroperasi secara bertanggungjawab," tegas pertubuhan alam sekitar itu.
Isu ini menyusul selepas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Parlimen menyatakan kebakaran berpunca dari luar kawasan ladang syarikat Malaysia.
Wakil Negara Interim Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun dalam pada itu, menegaskan cabaran dari segi aspek penguatkuasaan dan pengumpulan bukti tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melengahkan penggubalan undang-undang.

Beliau menambah, akauntabiliti korporat tidak seharusnya terhenti di sempadan negara memandangkan ancaman jerebu turut memberi kesan langsung kepada kesihatan awam dan ekonomi semasa dalam kalangan masyarakat sendiri.
Laporan bersama Greenpeace dan Pantau Gambut bertajuk 'When Clean Air Is Sacrificed for Global Commodities' sebelum ini mengenal pasti 20 entiti konsesi perhutanan serta sawit yang dikaitkan dengan titik panas di seluruh Indonesia.
Tegasnya lagi, beberapa konsesi berkenaan dikesan mempunyai hubungan dengan kepentingan perniagaan dari Malaysia dan Singapura yang wajar diteliti secara bebas.
"Kami menjelaskan penggubalan Akta Udara Bersih bukan bertujuan menyekat perniagaan, sebaliknya menyediakan mekanisme adil untuk menyiasat rantaian bekalan dan membersihkan nama syarikat yang dituduh tanpa asas," tambahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan melindungi mana-mana syarikat yang didapati bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan di negara jiran. - DagangNews.com






