Saya tahu ramai pengguna X memilih untuk menyemak fakta menggunakan Grok sejak bot ini diperkenalkan pada platform milik Elon Musk. Ia menimbulkan persoalan adalah manusia perlu berfikir sendiri mengenai topik tertentu atau menelan bulat-bulat jawapan yang diberikan. Semalam model baharu Grok 4 telah dilancarkan dengan kemampuan lebih baik, sokongan multi modal dan suara.
Tetapi penyelidik kini mendapati apabila diminta untuk memberikan pendapat mengenai isu-isu tertentu, Grok akan melakukan carian ciapan yang dihantar oleh Elon Musk sebelum memberikan jawapan. Apabila soalan diberikan, Grok akan menunjukkan bagaimana ia menjawabnya dengan jalan kerja.

Di blog beliau, Simon Willison seorang penyelidik meminta pendapat Grok dalam konflik Israel dan Palestin siapakah yang perlu disokong. Grok melakukan carian pendapat yang pernah dikeluarkan Elon terlebih dahulu kerana beliau dilabel sebagai insan berpengaruh sebelum melakukan carian daripada sumber lain. Grok kemudiannya memberikan jawapan Israel perlu disokong dan bukannya Palestin.

Penyelidik mendapati carian ciapan Elon di X hanya dilakukan jika prom mengandungi perkataan “you”. Tanpa perkataan ini, jawapan yang lebih seimbang akan diberikan oleh Grok.
Jawapan yang lebih selari dengan pendapat Elon Musk ini mungkin diberikan selepas pengguna X melaporkan kepada beliau Grok adalah terlalu bersayap kiri. Elon sendiri berkata Grok diracuni oleh pendapat media arus perdana semasa dilatih dan hasilnya Grok 4 menjadi lebih konservatif serta bersayap kanan.
Akibatnya berlakulah insiden memalukan Grok mengaku dirinya MechaHitler baru-baru ini sehingga perkhidmatan digantung seketika dan jawapan diberikan di X dipadam. Selepas insiden ini, CEO X Linda Yaccarino terus meletakkan jawatan secara mengejut.
