
Grokipedia dilancarkan tahun lalu sebagai pesaing kepada Wikipedia cuma kandungannya ditulis oleh kecerdasan buatan (AI) Grok. Selepas hampir setahun, Grokipedia kini menerima wajah baharu menerusi kemas kini V0.3 awal bulan ini.

Laman kini tidak lagi minimalis. Sebaliknya terdapat tab untuk 5 artikel paling banyak dibaca pada sisi kanan dan senarai 30 artikel paling banyak dibaca sejak laman mula beroperasi. Perubahan paling besar ialah artikel dipaparkan dalam bentuk buku 3D dengan imej untuk subjek. Karousel di bawah juga menyusun “buku” seperti ia di atas rak di dalam sebuah perpustakaan.
Apabila buku ditekan, pembaca akan dibawa ke laman artikel yang masih kelihatan seperti rekaan sebelum ini. Kemaskini antaramuka Grokipedia ini tampil selepas muncul laporan laman sudah lama tidak dikemaskini pada Ogos lalu.




