Ground Team Red guna traktor pesawat elektrik dalam operasi pengendalian darat di KLIA Terminal 2

Business & FinanceCars
16 Oct 2023 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ground Team Red guna traktor pesawat elektrik dalam operasi pengendalian darat di KLIA Terminal 2

diyana

16/10/2023 - 14:56

KUALA LUMPUR 16 Okt - Ground Team Red (GTR) memulakan ujian penggunaan dua traktor berkuasa elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2) sebagai sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjangnya dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Syarikat usaha sama pengendalian darat antara SATS Ltd (SATS) dan AirAsia itu mengambil langkah penting ke arah kemampanan dan inovasi dengan mencuba dua traktor kenderaan elektrik (EV) yang disewakan daripada Hangcha Aviation model QSD320-XD3-MAI.

Langkah transformatif ini menekankan komitmen GTR untuk mengurangkan jejak alam sekitar, meningkatkan kecekapan dan menerima amalan mesra alam.

Dua traktor EV baharu itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjangnya dalam mengurangkan pelepasan karbon dengan tidak terlalu bergantung kepada traktor berkuasa diesel yang digunakan pada masa ini, di samping mengoptimumkan kos operasi dan meningkatkan keseluruhan pengalaman lapangan terbang untuk pelanggan syarikat penerbangan dan kargo yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah berkata traktor EV tersebut menandakan satu langkah besar dalam komitmen syarikat terhadap kemampanan dan inovasi industri penerbangan.

“Selain komitmen kami terhadap kemampanan, kejayaan ini mencerminkan pilihan strategik yang kami percaya akan menghasilkan penjimatan operasi yang ketara untuk GTR.

“Kami menjangkakan kecekapan tenaga dan kos penyelenggaraan EV yang lebih rendah bukan sahaja akan mengurangkan kesan alam sekitar kami tetapi juga memberi kesan positif kepada keuntungan kami,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, GTR telah menjalankan percubaan komprehensif fasa pertama traktor EV di KLIA Terminal 2 bermula dari Ogos hingga pertengahan September tahun ini dengan model traktor bagasi elektrik T137-V3.

Syarikat itu berkata kejayaan pelaksanaan traktor EV dalam tempoh percubaan ini menunjukkan kebolehlaksanaan dan faedah peralihan kepada kenderaan elektrik untuk perkhidmatan pengendalian darat.

Semasa percubaan pertama, GTR menyatakan bahawa traktor EV boleh menggerakkan operasi pengendalian daratnya selama tujuh jam dengan sekali caj dan menjimatkan kira-kira 58% daripada kos operasi keseluruhannya, di mana ia menyasarkan untuk mengembangkan traktor EV jika data yang dikumpul daripada penggunaan semasa menunjukkan hasil yang lebih positif.

GTR merancang untuk menggunakan EV merentasi pelbagai aspek operasinya, termasuk perkhidmatan pengendalian bagasi, pengangkutan dan penyelenggaraan.

“Inisiatif ini memerlukan pelaburan besar dalam teknologi dan kelestarian, mempamerkan dedikasi syarikat untuk menyediakan tahap perkhidmatan bernilai tinggi sambil meminimumkan kesan alam sekitar,” katanya. - DagangNews.com

View Original Article