
AGIHAN kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berada pada nisbah 50-50 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tidak akan berlaku pertembungan kerusi antara BN dan GRS dan pembahagian kerusi adalah untuk mewujudkan situasi menang-menang.
“Kami sudah membincangkan perkara itu dengan GRS enam bulan lalu. Kesemuanya ialah 25 kerusi di Sabah. Jadi, ia menang-menang untuk kita (BN dan GRS). BN dan GRS akan mengumumkan calon mereka secara serentak di Kota Kinabalu tidak lama lagi dan BN Sabah akan membariskan kira-kira 80 peratus muka baharu untuk PRU ke-15,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kinabatangan di Sandakan pada 15 Oktober.
Beliau menasihatkan mereka yang tidak terpilih sebagai calon supaya melihat gambaran lebih besar demi kepentingan negeri dan negara.
“Mereka boleh kecewa dan merajuk selama dua atau tiga hari tetapi kemudian kembali untuk membantu calon yang dipilih. Kita buat keputusan untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau mengingatkan semua jentera Pemuda, Wanita dan Puteri supaya bekerja sebaik mungkin dan berusaha demi cintakan parti.
“Kerahkan semua jentera kita untuk mencari ahli lama dan baharu terutama pengundi muda. Pastikan mereka menterjemah sokongan dalam bentuk undi semasa pilihan raya akan datang. Kelebihan kami ialah ahli yang ramai tetapi tiada guna ramai jika setiap ahli tidak bekerja. Oleh itu, jadilah ahli yang bekerja untuk parti, menyumbang kepada kemenangan parti.
Bung juga bertegas menyeru semua ahli memperkasakan parti dengan bekerjasama dengan GRS dalam memastikan kemenangan PRU akan datang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
