
Kota Kinabalu: Seorang pemimpin kanan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak laporan akhbar The Star berhubung dakwaan beberapa pemimpin komponen itu “terkejut” dengan pengumuman kerjasama pilihan raya antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
Bendahari Agung GRS, Ardino Diris menyifatkan laporan yang hanya bersandarkan sumber tidak dinamakan sebagai cubaan menggugat kestabilan dan perpaduan dalaman GRS.
“Adalah tidak wajar dan tidak beretika untuk mengeluarkan laporan berasaskan sumber yang enggan dikenali, seolah-olah mewakili pendirian keseluruhan gabungan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});GRS sentiasa mengamalkan musyawarah dan perbincangan dalam membuat keputusan penting, termasuk soal kerjasama pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.
Menurutnya, kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kerjasama dengan PH telah dibincangkan adalah tepat dan berasaskan realiti semasa perbincangan dalaman GRS.
“Sebagai sebuah gabungan matang, GRS tidak akan membuat sebarang pengumuman besar tanpa melalui proses perbincangan strategik bersama kepimpinan gabungan.
“Justeru, mana-mana pandangan peribadi yang disuarakan tanpa nama tidak mencerminkan pendirian rasmi parti-parti komponen,” katanya.
Tambah beliau, GRS tidak tunduk kepada tekanan luar, sebaliknya berpegang kepada kepentingan rakyat dan kestabilan politik Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan. Kerjasama strategik dengan PH adalah demi memastikan Sabah terus dipimpin oleh kerajaan yang stabil, inklusif dan progresif. Perpecahan hanya akan merugikan rakyat,” tegasnya.
Mengulas dakwaan beberapa parti seperti Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) lebih cenderung mahu GRS bertanding secara solo, Ardino berkata perbezaan pandangan dalam politik adalah biasa, namun semua parti kekal dalam semangat muafakat GRS.
“GRS tidak pernah menghalang pandangan berbeza. Namun apabila keputusan bersama sudah dicapai, semua pihak harus akur dan memberi sokongan sepenuhnya untuk kejayaan bersama,” ujarnya.
Ahad lepas, Hajiji yang juga Ketua Menteri mengumumkan satu persefahaman telah dicapai antara GRS dan PH bagi menghadapi PRN ke-17, sebagai langkah memperkukuh blok kerajaan sedia ada yang stabil dan diyakini rakyat.
GRS, yang diterajui Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), turut disertai PBS, Star, SAPP, Usno, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah, manakala PH Sabah dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
