
Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin empat Ahli Parlimen di bawah gabungan itu, yang bertindak keluar daripada parti Bersatu, tidak akan terjejas dengan undang-undang anti-lompat parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidi Manjun (gambar), berkata GRS dan empat Ahli Parlimennya menyedari sepenuhnya mengenai undang-undang anti-lompat parti yang berkuat kuasa sejak 5 Oktober lalu sebelum menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Mereka (Ahli Parlimen berkenaan) akan memaklumkan Speaker Parlimen jika ada keperluan mengenai
kedudukan mereka dan akan mengeluarkan kenyataan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang),
Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).
Sabtu lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan semua pimpinan Bersatu negeri itu sebulat suara keluar dan meninggalkan parti berkenaan tetapi tetap bersama di bawah GRS.
GRS sebelum ini terdiri daripada parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bergabung dengan Barisan nasional (BN) untuk mentadbir kerajaan negeri itu.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau menunggu laporan rasmi dan pandangan perundangan dari pejabat Peguam Negara (AG), berhubung kedudukan empat ahli Parlimen dari parti Bersatu yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, keputusan muktamad adalah terpulang kepada Speaker (Dewan Rakyat) dalam masa 21 hari, selepas notis diberikan kepada beliau.
“Tetapi dalam pindaan Perlembagaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian.
“Jadi di luar bidang kuasa saya untuk memberikan komen. Tapi saya tunggu laporan dan ‘legal opinion’ Peguam
Negara,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai
isu empat Ahli Parlimen Sabah itu, selepas menutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022, di sini pada Isnin.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
