SEPANG - Kesemua 428 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa kini dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, SNCC dimaklumkan oleh pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telah menghantar tiga kapal terbang Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon yang terletak di tanah haram Israel.
Beliau berkata, SNCC mengesahkan laporan terkini bahawa semua 428 aktivis flotilla kini sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan dijangka sampai ke Istanbul menggunakan tiga penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925.
"Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines itu dijangka berlepas dari tanah haram Israel sekitar 8 malam waktu Malaysia.
"Penerbangan ini dijangka tiba pada 10 malam waktu Malaysia dan akan disambut oleh pihak kedutaan Malaysia di Turkiye serta Wisma Putra serta kerajaan Turkiye,” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini pada Khamis.


