GSF: 23 Aktivis Malaysia Bebas, Tiba Di Tanah Air Esok Atau Lusa - PM

4 Oct 2025 • 6:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Kesemua 23 aktivis Malaysia yang ditahan Israel selepas misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas rejim Zionis itu telah dibebaskan hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua mereka dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel untuk menaiki penerbangan khas dan selamat meninggalkan Israel sekitar jam 6.45 petang tadi (waktu Malaysia).

Menurut beliau, mereka akan diterbangkan ke Istanbul, Turkiye bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum pulang ke tanah air.

“Adalah lebih baik mereka berada di sana kira-kira sehari atau sehari setengah untuk pemeriksaan perubatan, khususnya bagi menangani trauma dan tekanan psikologi yang ditimbulkan oleh rejim zalim Israel.

“Saya setuju bahawa sebelum mereka pulang sama ada esok malam atau pada Selasa, persiapan sewajarnya akan dibuat,” katanya.

Jelas Anwar, kesemua aktivis berkenaan telah menandatangani perintah deportasi segera yang membolehkan pihak berkuasa Israel melepaskan mereka tanpa kelewatan lanjut.

Beliau menambah, usaha mendapatkan pembebasan mereka telah diselaras dengan pantas, dan kerajaan kekal komited menyokong misi terbabit serta perjuangan rakyat Palestin secara lebih luas, termasuk memajukan pelan damai yang berdaya maju untuk Gaza.

Pemerintahan Tidak Bertamadun

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mengecam sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang mencerminkan sebuah rejim tanpa tamadun, perikemanusiaan dan keadilan.

image is not available
Detik-detik ketika tentera Zionis memintas kapal peserta misi GSF

Menerusi pengumuman khas yang disiarkan secara langsung itu, Anwar menegaskan, Zionis bukan sahaja menindas rakyat Palestin, tetapi turut menghalang bantuan kemanusiaan penting daripada sampai ke wilayah Gaza.

“Sebuah negara bertamadun sekurang-kurangnya akan membenarkan bantuan kemanusiaan disampaikan. Tetapi rejim Israel bukan sahaja menekan rakyat Palestin, malah dengan kejam menyekat semua bantuan kemanusiaan.

“Ini hanya berlaku apabila sesebuah negara diperintah dengan falsafah yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun,” katanya, berang.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memuji delegasi Malaysia atas peranan mereka dalam menarik perhatian antarabangsa terhadap pengepungan berterusan di Gaza.

“Mereka telah memberi sumbangan besar dengan meningkatkan kesedaran ratusan juta orang di seluruh dunia. Rejim itu mendakwa sedang memerangi kumpulan pengganas, namun apa yang kita lihat adalah gerakan yang menuntut pembebasan Palestin dan Gaza. 

“Pada masa sama, ia dengan ganas menghalang walaupun bantuan kemanusiaan paling asas,” katanya.

Anwar menarik perhatian, beliau sempat menghubungi sembilan lagi aktivis dan sukarelawan Malaysia yang kini berada di atas kapal Conscience dan TM Denmark Boat.

Katanya, kesemua mereka kini sedang berlayar di tengah laut Mediterranean dan selamat memasuki zon kuning. 

“Saya suntikkan semangat dan mendoakan agar perjalanan dan usaha mereka menuju Gaza dipermudahkan. 

“Pengorbanan mereka dalam mengangkat prinsip kemanusiaan adalah contoh unggul buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi masa depan, tentang erti keberanian, tekad, dan solidariti yang tuntas dan tegas. Hasbunallahu Wani‘mal Wakil,” katanya. 

Konvoi pertama misi kemanusiaan GSF yang disertai ratusan sukarelawan dari pelbagai negara seluruh dunia itu dipintas Zionis ketika berada di perairan antarabangsa, sewaktu mereka berlayar untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza.

Misi berkenaan yang digerakkan secara aman tanpa senjata hanya membawa bantuan makanan dan perubatan buat penduduk Palestin. 

Susulan penahanan, kesemua aktivis Malaysia dibawa ke Penjara Ketziot di selatan Israel.

Sekatan laut Zionis terhadap Gaza kembali mendapat perhatian mutakhir ini, khususnya ketika keadaan kemanusiaan di wilayah itu terus merosot. - Getaran, 4 Oktober 2025