
KUALA LUMPUR - Tiga kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa sembilan aktivis Malaysia masih belum dipintas tentera Zionis dan kekal meneruskan pelayaran.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ketiga-tiga kapal itu dikenali sebagai Free Willy, Fair Lady dan Estrella.
Menurut beliau, Free Willy dinaiki Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs dan Taufiq Mohd Razif.
“Kapal Estrella pula dinaiki Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak dan Mohd Asmawi Mukhtar.
“Fair Lady ialah kapal yang kini berlayar hanya dengan satu layar dan dinaiki Muhammad Abdullah (Ustaz Muhammad Kechik) dan Zainal Rashid Ahmad (ZRA),” katanya.
Sany menarik perhatian, pasukan undang-undang GSF yang dibarisi peguam dari 45 negara kini berada dalam keadaan siap siaga susulan penahanan peserta misi sejak awal pagi tadi.
“Barisan Legal Malaysia diketuai oleh Tuan Azril daripada CENTHRA (Centre for Human Rights Research & Advocacy) sudah berada di Amman, Jordan bagi menyelaras hal perundangan berkaitan delegasi Malaysia dan flotila.
“Sekretariat GSF bekerjasama dan melantik The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) sebagai wakil rasmi perundangan khususnya untuk delegasi Malaysia berdepan situasi soal siasatan dan tahanan,” katanya.
Jelas Sany, orang ramai diminta merujuk SNCC untuk maklumat terkini yang sahih kerana penyebaran info tidak tepat hanya memenangkan propaganda pihak Zionis dan akan membina naratif salah.
“Semua penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat yang mendokong digesa terus menjadi penguat semangat dan tidak terpengaruh dengan cubaan halus melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini,” katanya. - Getaran, 2 Oktober 2025

