GSF: Malaysia takkan berkompromi dengan kezaliman, hina suara kemanusiaan sejagat – Fadillah

LocalPolitics
2 Oct 2025 • 4:22 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dengan tindakan zalim rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Beliau mengecam keras tindakan tentera Israel yang memintas kapal GSF ketika menghampiri Gaza dan menahan aktivis terlibat, sambil menegaskan keselamatan rakyat Malaysia dalam misi itu menjadi keutamaan kerajaan.

“Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah dan diplomatik bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya apabila keselamatan rakyat Malaysia terlibat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

image is not available

Malaysia takkan berkompromi dengan kezaliman

Menurut Fadillah, dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel sebagai rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta nyawa manusia, malah sanggup menindas misi kemanusiaan yang membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin.

image is not available

Beliau berkata, misi itu bukan sahaja membawa bantuan, tetapi juga simbol solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin.

“Tindakan Israel bukan sahaja kezaliman terhadap rakyat Gaza, malah penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat,” katanya.

image is not available

Tambah Fadillah, kerajaan akan terus lantang bersuara di peringkat antarabangsa, mendesak agar keadilan ditegakkan dan hak rakyat Palestin dikembalikan.

“Kemanusiaan tidak boleh dijadikan tebusan. Malaysia berdiri teguh bersama Palestin, sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka,” ujarnya.

Sumber: FB Fadillah Yusof