liza11/09/2026 - 15:09 Pelantikan itu dibuat menerusi Perjanjian Pengedar yang dimeterai antara Global Turbine dan Safran Helicopter Engines Asia yang membolehkan GTA memasarkan serta menyokong produk dan perkhidmatan terpilih pengeluar enjin helikopter berkenaan di Brunei Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept – GTA Holdings Berhad memperluaskan operasi perkhidmatan sokongan penerbangannya ke Brunei Darussalam selepas anak syarikat milik penuhnya, Global Turbine Asia Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar sah produk dan perkhidmatan Safran Helicopter Engines di negara itu.
Pelantikan itu dibuat menerusi Perjanjian Pengedar yang dimeterai antara Global Turbine dan Safran Helicopter Engines Asia yang membolehkan GTA memasarkan serta menyokong produk dan perkhidmatan terpilih pengeluar enjin helikopter berkenaan di Brunei.
Global Turbine terlibat dalam penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berkaitan penerbangan, khususnya enjin helikopter dan pesawat sayap tetap serta bahagian dan komponennya.
Kerjasama berkembang dari Malaysia ke Brunei
Perjanjian itu susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Global Turbine dengan Safran Helicopter Engines Asia pada Julai lalu bagi memperluaskan kerjasama kedua-dua pihak dari Malaysia ke Brunei Darussalam.
Menurut GTA, hubungan dengan Safran Helicopter Engines Asia telah dibina sejak beberapa tahun lalu menerusi kerjasama teknikal, kecekapan operasi dan kepercayaan antara kedua-dua organisasi.
Melalui pelantikan tersebut, GTA kini diberi kebenaran untuk menjalankan aktiviti pemasaran dan sokongan bagi produk serta perkhidmatan Safran Helicopter Engines yang terpilih dalam pasaran Brunei.
GTA berkata, peranan baharu itu membolehkan syarikat menyokong keperluan pelanggan di Brunei, selain memperluaskan jenis aktiviti sokongan penerbangan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan serantaunya.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Datuk Mohd Radzi berkata pelantikan itu mencerminkan keyakinan Safran Helicopter Engines Asia terhadap kemampuan GTA selepas bertahun-tahun menjalinkan kerjasama.
“Pelantikan ini amat bermakna kerana ia mencerminkan keyakinan Safran Helicopter Engines Asia terhadap GTA bekerjasama rapat selama ini.
“Ia juga menunjukkan keupayaan teknikal pasukan kami, standard operasi serta komitmen untuk menyokong pelanggan di seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sokong pelanggan Safran di Brunei
Nonee Ashirin berkata, peluasan operasi ke Brunei turut menunjukkan hubungan yang semakin berkembang antara GTA dan Safran Helicopter Engines Asia.
Menurutnya, kedua-dua pihak mempunyai matlamat yang sama untuk menyediakan penyelesaian sokongan penerbangan yang boleh dipercayai serta meningkatkan keupayaan sektor penerbangan di rantau ini.
Dalam pada itu, GTA berkata kerjasama dengan pengeluar peralatan asal (OEM) global seperti Safran dapat membantu syarikat tempatan membangunkan keupayaan teknikal dan menyediakan sokongan kepada pelanggan dalam pasaran serantau.
GTA kini beroperasi melalui anak syarikatnya di Pusat Helikopter, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan menyediakan perkhidmatan kepada pengendali penerbangan, pelanggan berkaitan MRO serta pasaran yang mempunyai kaitan dengan sektor pertahanan.
Sementara itu, Safran Helicopter Engines Asia yang berpusat di Singapura merupakan hab serantau Safran Helicopter Engines dan menyokong lebih 200 pengendali serta lebih 1,100 enjin helikopter yang sedang digunakan di 19 negara.
Antara pasaran yang diliputi termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, India, Nepal dan Sri Lanka. - DagangNews.com

