GTA latih bakat pelajar, veteran tentera dalam bidang aeroangkasa menerusi kerjasama Airbus, UPNM dan PERHEBAT

LocalBusiness & Finance
21 Apr 2026 • 4:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GTA latih bakat pelajar, veteran tentera dalam bidang aeroangkasa menerusi kerjasama Airbus, UPNM dan PERHEBAT image is not available liza21/04/2026 - 16:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 April – Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA) memperkukuh kedudukan dalam industri aeroangkasa dan pertahanan negara melalui pemeteraian beberapa kerjasama strategik bersama Airbus Defence and Space (Airbus DS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

 

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi dua Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Nota Persefahaman (NoU) yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebagai langkah memperkukuh ekosistem industri pertahanan dan aeroangkasa negara.

 

GTA ialah penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin serta sokongan untuk sektor ketenteraan dan awam di Malaysia, selain merupakan pusat penyelenggaraan bertauliah (CMC) bagi Safran Helicopter Engines.

 

Syarikat itu beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, serta menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk Support By The Hour, sokongan pesawat AOG, bantuan teknikal, alat ganti, pertukaran komponen, baik pulih dan latihan teknikal.

 

GTA turut memiliki beberapa pensijilan dan kelulusan penting termasuk Kelulusan Organisasi Penyelenggaraan yang Diluluskan DGTA, Kelulusan Organisasi Penyelenggaraan oleh CAAM serta Kelulusan Organisasi Penyelenggaraan EASA Bahagian 145, yang mengukuhkan kredibiliti operasinya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 


MoU bersama Airbus DS akan menilai peluang pembangunan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat tentera di Malaysia, selain meneroka potensi GTA sebagai penerima Program Kerjasama Industri (ICP), tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan.

 

image is not available

 

Kerjasama tersebut juga dijangka menyokong pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan tempatan serta integrasi rantaian bekalan dalam industri aeroangkasa pertahanan negara.

 

Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh ekosistem aeroangkasa negara melalui pembangunan keupayaan industri, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan yang berterusan.

 

Sementara itu, MoU dengan UPNM memberi tumpuan kepada kerjasama industri-akademia merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi, latihan teknikal, program pascasiswazah, bengkel serta penubuhan pusat kepakaran dalam bidang aeroangkasa.

 

Kerjasama itu turut merangkumi inisiatif pembangunan bakat termasuk program latihan industri dan potensi program industri di kampus bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan sektor aeroangkasa dan pertahanan.

 

Bagi kerjasama dengan PERHEBAT pula, fokus diberikan kepada sokongan peralihan kerjaya anggota tentera yang bersara melalui latihan industri, pendedahan tempat kerja, penyelarasan kemahiran pekerjaan serta program pemantauan bagi meningkatkan kebolehpasaran veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved