PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes rasuah projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta dan pengubahan wang haram (AMLA) dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; isterinya, Betty Chew dan ahli perniagaan, Phang Li Koon akan diteruskan selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, menolak rayuan mereka untuk membatalkan pertuduhan tersebut.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang sebelum ini menolak permohonan sama.
Ketika membaca keputusan sebulat suara, Noorin berkata, mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi adalah tepat dan tiada alasan untuk mencampuri dapatan tersebut.
Pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ketiga-tiga perayu untuk membatalkan pertuduhan berkenaan, dengan menyatakan doktrin autrefois acquit atau peraturan terhadap pendakwaan berganda yang dihujahkan oleh pihak pembelaan tidak terpakai kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Pada 26 Mei 2023, Guan Eng, Betty dan Li Koon memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas alasan pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes terdahulu membabitkan pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, walaupun beliau dibebaskan dan dilepaskan pada 2018.
Pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ketiga-tiga perayu untuk membatalkan pertuduhan berkenaan, dengan menyatakan doktrin ‘autrefois acquit’ atau peraturan terhadap pendakwaan berganda yang dihujahkan oleh pihak pembelaan tidak terpakai kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Kes rasuah itu membabitkan pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang oleh Guan Eng yang mana beliau telah dilepas dan dibebaskan lapan tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi berikutan pendakwaan menarik balik tuduhan.
Mengikut pertuduhan, Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan (PDC) didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan RM372,009 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.
Ia dengan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan bernilai RM11,610,000 yang Betty Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.
Ahli Parlimen Bagan itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Li Koon pula didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Guan Eng dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama.
Betty Chew pula didakwa dengan tiga tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM372,009 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.



