Guan Eng persoal larangan alkohol di sekolah Cina, amalan sejak Merdeka tak pernah timbul masalah

LocalPolitics
24 Oct 2025 • 11:10 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkongsi rasa tidak setuju terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung larangan menghidang alkohol di kawasan sekolah, termasuk dewan awam yang dibina sepenuhnya hasil sumbangan masyarakat Cina.

Guan Eng persoal larangan alkohol di sekolah Cina

Menurut Lim, kenyataan tersebut telah menimbulkan rasa tidak senang dan kekecewaan yang mendalam dalam kalangan masyarakat Cina, kerana amalan menghidang alkohol dalam majlis seperti kenduri kahwin, jamuan tokong dan acara hiburan di dewan sekolah Cina telah diamalkan secara aman sejak Merdeka pada tahun 1957 tanpa sebarang masalah.

image is not available

Foto: FB Lim Guan Eng

“Walaupun Perdana Menteri menegaskan bahawa larangan ini bukan bertujuan untuk memaksakan nilai Islam kepada bukan Islam, tetapi bagi mengekalkan imej sekolah sebagai institusi pendidikan, masyarakat Cina tetap tidak bersetuju,” tulisnya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Guan Eng menjelaskan, sekolah rendah Cina selama ini telah terbukti sebagai institusi pendidikan berdisiplin dan berprestasi tinggi yang melahirkan pelajar berakhlak baik serta tidak pernah terlibat dengan isu moral seperti penyalahgunaan alkohol atau jenayah seksual.

“Kes rogol, liwat atau penderaan seksual terhadap kanak-kanak di sekolah Cina juga amat rendah, jika ada sekalipun, berbanding jenis sekolah lain.

“Komuniti Cina mempersoalkan mengapa Perdana Menteri memilih untuk tunduk kepada tekanan golongan ekstremis dan rasis dengan mengganggu amalan yang tidak pernah mencetuskan kontroversi atau memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam,” katanya.

Tambah beliau, bahkan ketika Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memerintah di beberapa negeri, parti itu tidak pernah mencampuri urusan sekolah rendah Cina atau menghalang aktiviti sosial yang melibatkan komuniti bukan Islam.

Semalam, Anwar menegaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana penganjuran pesta arak atau aktiviti yang bercanggah dengan nilai pendidikan di kawasan sekolah, meskipun ia diadakan di luar waktu persekolahan.

image is not available

Foto arkib: Bernama

Beliau menjelaskan, meskipun premis sekolah disewa oleh pihak luar seperti persatuan alumni, ia tetap tidak seharusnya dijadikan lokasi untuk aktiviti yang bertentangan dengan peraturan serta falsafah pendidikan negara.

Sementara itu, Guan Eng turut membangkitkan persoalan ke mana hala tuju dasar baharu ini sekiranya selepas alkohol, makanan seperti daging khinzir pula dijadikan sasaran dengan alasan serupa.

“Jika alkohol diharamkan di dewan sekolah Cina atas alasan kawasan sekolah adalah institusi kerajaan, adakah selepas ini majlis perkahwinan atau jamuan masyarakat Cina juga akan dilarang daripada menghidang daging khinzir?” soalnya.

image is not available

Foto arkib: Bernama

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan Anwar bagi mencari penyelesaian yang dapat diterima semua pihak.

“Sebelum ini, Loke juga telah berjaya memastikan semua pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat tempat di program matrikulasi dan setiap pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diterima masuk ke kursus pilihan mereka di universiti awam,” ujar Guan Eng lagi.

Sumber: Facebook Lim Guan Eng