'Guan Eng pun praktikkan politik perkauman' - Sanusi

Politics
11 May 2023 • 5:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sanusi

ALOR SETAR - Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak perlu menggesa rakyat Malaysia membuat laporan polis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kononnya mengamalkan politik pecah belah, pelampau dan perkauman.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana Guan Eng sendiri turut mempraktikkan politik perkauman.

Beliau berkata, asas kepada penubuhan parti-parti politik di negara ini realitinya berasaskan kaum sejak dahulu.

"Ia boleh dibuktikan apabila MIC ditubuhkan kaum India, MCA bagi kaum Cina, UMNO untuk Melayu dan Pas untuk Islam.

"Asasnya memang begitu dan DAP pula parti cauvinis ekstremisme Cina. Pergi tengok deklarasi Setapak ketika DAP ditubuhkan pada 1969 dan itulah dia DAP.

"Jadi tak payahlah berpencak silat seolah-olah beliau tak praktikkan politik perkauman. Kita kenal beliau lama dah," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi dalam masa sama turut menempelak Guan Eng berhubung gesaannya agar rakyat Malaysia membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi.

"Guan Eng kira nak buat laporan polis saja, sepatutnya kenyataan politik, selesaikanlah di medan politik dengan buat kenyataan balas.

"Itulah eksesais dan namanya politik. Kalau kita buat satu eksesais politik tapi beliau nak selesaikan hingga ke polis dan mahkamah, tak payah main politiklah," katanya.

Pada Rabu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menggesa rakyat Malaysia supaya beramai-ramai membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi bagi menamatkan politik pecah belah, pelampau dan perkaumannya.

Menurut Guan Eng, jenama politik pemimpin Pas tersebut mengancam perpaduan dan integrasi nasional dengan Abdul Hadi disifatkan begitu terdesak untuk mengacau, menggugat kestabilan malah memusnahkan kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga terus menyasarkan golongan bukan Islam dan bukan Melayu secara terbuka.