
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh telah menjadi perhatian apabila dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO dan pihak lain dalam Himpunan Solidariti Bendera di Pulau Pinang.
Dalam himpunan itu mereka berarak sejauh 1.4 kilometer untuk membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik. Susulan itu, beberapa wakil DAP telah membuat laporan mengenai hal tersebut.
Pada 15 Ogos, Dr Akmal kemudiannya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan mengenai himpunan berkenaan, lapor Harian Metro.
Selain penganjuran himpunan tersebut, Akmal turut dilihat berperang mulut dengan beberapa individu termasuk dari sayap pemuda DAP, DAPSY berhubung isu Jalur Gemilang itu.
AGC dedah beberapa individu akan didakwa kerana didapati gugat ketenteraman awam
Terbaharu Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan beberapa individu akan didakwa dalam masa terdekat susulan daripada kenyataan yang didapati menggugat ketenteraman awam.
Antara individu yang bakal didakwa adalah Dr Akmal Saleh dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muhammad Hilman.
“Jabatan ini telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung kenyataan yang dibuat oleh Dr Akmal Saleh di laman Facebook ‘Akmal Saleh’, kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Hilman Idham di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv.’
“Kenyataan yang dibuat oleh Chandrasegaral Subramaniam melalui akaun TikTok ‘cikguchandra3’ dan kenyataan yang dibuat oleh Siti Hajar Aflah Sharuddin di akaun TikTok ‘Sha_Abrienda,'” ujarnya.
Menerusi keterangan serta bukti yang diperoleh, AGC memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] terhadap Akmal Saleh, Muhammad Hilman dan Siti Hajar Aflah.
“Sementara itu, Chandrasegaran Subramaniam pula akan dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 [Akta 588].
“Semua pertuduhan akan dikemukan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat (local jurisdiction) dalam masa terdekat.”
Ujarnya lagi kenyataan yang dibuat oleh individu berkenaan menggugat ketenteraman awam atau merupakan penggunaan yang tak wajar kepada kemudahan dan perkhidmatan rakngkaian.

Dr Akmal akan singkatkan umrah untuk hadir ke mahkamah
Dalam pada itu, Dr Akmal menerusi Instagram turut memaklumkan akan memendekkan umrah untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan berkenaan pada Jumaat (22 Ogos) ini di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam jam 8 pagi.
“Saya akan pendekkan ziarah umrah saya dan insya-Allah tarikh untuk dihadapkan ke mahkamah adalah 22 bulan lapan 2025 iaitu hari Jumaat ini. Jam 8 pagi di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
“Saya mohon doa daripada semua rakyat Malaysia agar Allah permudahkan segala urusan ini, dan jika inilah harga yang perlu saya bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara. Maka saya tidak akan bergerak walau seinci pun untuk mengaku kalah,” ujarnya dalam satu video yang dimuat naik.
Source:
