GUH Holdings dan firma China jalin usahama tubuh kilang pemasangan bateri lithium di Malaysia bernilai RM12.87 juta

Business & Finance
10 Nov 2023 • 5:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GUH Holdings dan firma China jalin usahama tubuh kilang pemasangan bateri lithium di Malaysia bernilai RM12.87 juta

diyana

10/11/2023 - 17:49

KUALA LUMPUR 10 Nov - GUH Holdings Bhd dan Shenzhen Xixin Electronic Technology Co Ltd (Xixin) jalin usahasama bagi menubuhkan kilang pemasangan bateri lithium di Malaysia bernilai kira-kira 20 juta yuan (sekitar RM12.87 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, GUH berkata anak syarikatnya GUH Capital Sdn Bhd telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Xixin untuk menubuhkan syarikat usahasama iaitu GUH Power Sdn Bhd.

Di dalam syarikat usahasama ini, GUH Capital akan memiliki 75% kepentingan, manakala Xixin memegang baki 25%.

Xixin merupakan syarikat China yang terlibat terutamnya dalam pembuatan bateri, penghantaran kuasa, pengedaran dan kawalan.

GUH berkata kerjasama tersebut merupakan peluangnya untuk terlibat dalam perniagaan bateri litium yang merupakan salah satu industri global dengan potensi pertumbuhan yang tinggi.

"Dengan kerjasama itu, kedua-dua pihak akan bersama-sama menubuhkan kilang pemasangan bateri di Malaysia untuk menyediakan produk dan perkhidmatan bateri litium berkualiti tinggi kepada pasaran di luar China," katanya.

Menurut GUH, Xixin mempunyai teknologi dan pengalaman terkemuka dalam pengeluaran bateri litium dan hak harta intelek yang kaya, dokumen teknikal, paten, perisian dan lain-lain.

Oleh itu, katanya, Xixin akan menyediakan syarikat usahasama terbabit dengan sokongan teknikal yang menyeluruh dan perkhidmatan selepas jualan untuk memastikan kestabilan operasi barisan pemasangan bateri syarikat dan kualiti produk.

GUH akan melabur sepenuhnya penubuhan kilang tersebut yang dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman.

Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, urus niaga itu dianggarkan selesai pada penghujung 2023.

Saham GUH ditutup rendah pada 39 sen, turun 1 sen atau 2.5% dengan permodalan pasaran bernilai RM109.7 juta. - DagangNews.com