
PUTRAJAYA – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penyelenggaraan kenderaan dijangka membantu pemilik kereta untuk mengurus keperluan servis dengan lebih sistematik, selain mengurangkan risiko ditipu pengusaha bengkel.
Menurut Pengasas Bersama SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd. Kamel, teknologi itu boleh dinikmati pengguna menerusi aplikasi SCRUT Garage yang dibangunkan pihaknya bagi mengelakkan penipuan pemilik bengkel.
Katanya, ia membantu pemilik kenderaan membina rekod digital lengkap berkaitan servis dan pembaikan selain penjagaan kenderaan yang boleh dirujuk pada masa hadapan.
“Rekod penyelenggaraan yang lengkap dan telus berpotensi meningkatkan nilai jualan semula kenderaan.
“Ini kerana ia memberikan keyakinan kepada bakal pembeli terhadap keadaan serta sejarah kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis SCRUT Appreciation Night di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi Pengasas Bersama SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, aplikasi berkenaan turut membantu pengusaha bengkel mengekalkan pelanggan sedia ada serta menggalakkan kunjungan berulang dan meningkatkan peluang jualan menerusi peringatan servis secara berkala.
“SCRUT Garage merekodkan lebih 10,000 pemilik kenderaan berdaftar, selain penyertaan lebih 100 usahawan automotif dalam platform berkenaan.
“Secara keseluruhan, ekosistem SCRUT kini mempunyai lebih 250,000 pengguna,” katanya.
Menurut Ahmad Aliff, penggunaan teknologi digital bukan sahaja memudahkan urusan pemilik kenderaan, malah membantu pengusaha bengkel meningkatkan mutu perkhidmatan dan kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
SCRUT turut mengumumkan inisiatif pengumpulan dana menerusi kaedah Equity Crowdfunding (ECF) melalui platform pendanaan ekuiti berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Inisiatif itu membuka peluang kepada orang ramai untuk memiliki pegangan ekuiti dalam syarikat, tertakluk kepada terma, syarat dan risiko pelaburan.
“SCRUT menyasarkan pembangunan ekosistem automotif digital yang merangkumi keseluruhan perjalanan pemilikan kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Guna aplikasi AI elak pemilik kenderaan ditipu pengusaha bengkel appeared first on Kosmo Online.

