Guna ‘Apps’ & Papan Tanda Amaran Aligator Bantu Polis Jejaki Mangsa Rogol

14 Sep 2022 • 4:19 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Hasil menggunakan sejenis aplikasi keselamatan serta papan tanda amaran aligator, pihak polis berjaya menjejaki seorang remaja perempuan yang menjadi mangsa rogol dalam kejadian di Georgia, US baru-baru ini.

Menurut jurucakap pihak berkuasa di Coweta County, Toby Nix, pada awalnya mangsa bertemu dengan suspek menerusi platform atas talian sebelum dipelawa dibawa ke rumah suspek di Pennsylvania, minggu lepas.

Walau bagaimanapun, suspek tidak membawanya ke tempat tersebut, sebaliknya memberhentikan keretanya di Taman Tasik BT Brown sebelum mengikat tangannya dengan pita pelekat.

“Ketika dalam perjalanannya ke Pennsylvania, suspek tersebut telah berhenti di Coweta County dan bertindak merogol mangsa dengan ancaman pisau,” maklum Toby memberitahu FOX 5 Atlanta.

Namun begitu, suspek difahamkan masih membenarkan mangsa menggunakan telefon pintarnya semasa kejadian tersebut.

Oleh itu, mangsa menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin untuk mencari bantuan daripada orang luar serta pihak berkuasa.

Usaha mangsa melepaskan diri

Difahamkan, mangsa pada asalnya tidak tahu di mana lokasi spesifik tempat dia dibawa suspek, cuma seingatnya dia terperasan ada satu papan tanda amaran aligator tidak jauh dari situ.

Kemudian, mangsa menghubungi teman lelakinya untuk berkongsi lokasi serta memintanya mencari gambar papan tanda amaran aligator di internet (Google) dipercayai sebagai gambar contoh lokasi.

image is not available
Kredit: Fox 5

Mangsa kemudiannya menggunakan sejenis aplikasi keselamatan, Noonlight untuk memuat naik segala butiran penting iaitu gambar papan tanda amaran aligator (yang dicari teman lelakinya) sebagai mercu tanda (land mark), maklumat kereta suspek dan menulis perkataan ‘rogol’.

Berdasarkan maklumat yang diterima, aplikasi itu akhirnya berjaya mengesan lokasi spesifik mangsa dan suspek berada sebelum isyarat dihantar kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Hasil bantuan aplikasi dan papan tanda itu, suspek akhirnya berjaya diberkas polis di Habersham County atas tuduhan menculik, jenayah rogol, melakukan kekerasan dengan pisau serta memiliki pisau semasa melakukan jenayah.

Berdasarkan rakaman kamera pengawasan, suspek pernah meletakkan kenderaannya di luar kawasan taman tersebut dan dalam masa sama, mangsa pula dibawa pulang ke pangkuan keluarganya.

image is not available
Kredit: Coweta County Sheriff’s Office

Penggunaan aplikasi Noonlight yang membantu mangsa

Sementara itu, laman web aplikasi Noonlight mengatakan bahawa misi mereka adalah untuk melindungi dan memastikan manusia hidup dalam keadaan selesa agar mereka dapat bebas.

“Pada awalnya aplikasi ini hanya menumpukan keselamatan pengguna untuk berjalan dari titik A ke titik B.

“Kini, ia merupakan satu set API (Application Programming Interface) terhadap tindak balas kecemasan yang menyokong beberapa perkakasan rumah pintar, kesihatan dan gaya hidup dalam pasaran IoT (Internet of Things),” maklum kenyataan tersebut.

Noonlight atau dahulunya dikenali sebagai Safeetrek merupakan satu platform keselamatan yang mampu membantu pengguna untuk meminta bantuan ketika menghadapi situasi genting.

Aplikasi itu boleh dimuat turun melalui perisian Android dan iOS. Ia juga boleh disambungkan dengan aplikasi janji temu, Tinder.

Menurut rekod, ia telah melindungi lebih daripada satu juta pengguna sejak 2013 dan membantu dalam lebih 50,000 kes kecemasan di Amerika Syarikat.

Sumber: Metro.UK