Guna khidmat anjing pengesan, dron cari juruteknik hilang dihanyut arus deras

2 Jan 2026 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

KUANTAN - Khidmat anjing pengesan dan dron digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) juruteknik kilang yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Pusat Rekreasi Jeram Besu, Sega, Raub.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, anjing pengesan, Frankie digunakan dalam operasi hari kedua mengesan mangsa, Mohamat Firdarus Jamaidi, 25, pada Jumaat.

Menurutnya, jarak pencarian diperluas melibatkan kawasan dua kilometer radius daripada tempat mangsa dipercayai dihanyutkan.

"Setakat jam 4 petang pada Jumaat, mangsa masih belum ditemui," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari pada Khamis itu, Mohamat Firdarus dipercayai turun ke kawasan jeram untuk mandi.

Ketika kejadian, isteri mangsa yang berada di lokasi bersama penduduk setempat berusaha mencari mangsa namun gagal.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada jam 2.16 petang sebelum pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi SAR.

Operasi melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved