Guna Nama Allah Untuk Kecam PM, Armand Azha Terdesak Raih Perhatian Rakyat

LocalPolitics
20 May 2025 • 7:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Saifuddin Shafi Muhammad

PETALING JAYA – Ketua UMNO Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dianggap terdesak, apabila sanggup menggunakan nama Allah SWT untuk mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Strategik PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, dakwaan Armand kononnya Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri kerana Allah SWT ingin menunjukkan warna sebenar beliau kepada rakyat jelas tidak berasas.

Menurut beliau, ia amat tidak bertanggungjawab, dan memperlihatkan betapa terdesaknya segelintir pemimpin UMNO dalam meraih perhatian rakyat. 

“Mereka amat terdesak untuk meraih kepentingan politik sehingga sanggup memperalatkan agama demi menyerang musuh masing-masing.

“Apakah Armand kini mengangkat dirinya sebagai ‘jurucakap langit’ menggantikan ketua ajaran sesat seperti Ayah Pin? Adakah beliau mendapat wahyu sehingga tahu kehendak Tuhan tentang perlantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya sinis.

image is not available
Armand Azha Abu Hanifah

Tegas Saifuddin, menggunakan nama Allah untuk menjustifikasi kebencian politik bukan sahaja menyimpang dari prinsip akhlak Islam, malah menghina kebijaksanaan rakyat yang memilih pemimpin melalui proses demokrasi. 

“Perlu diingat, UMNO sendiri adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar. 

“Bukankah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga merupakan Timbalan Perdana Menteri dalam pentadbiran ini,” katanya lagi.

Tempelak beliau, UMNO kini sedang dibersihkan daripada pelbgai ‘kekotoran’ legasi lama. 

“Kepimpinan baharu UMNO yang kini berada dalam Kerajaan Perpaduan adalah barisan yang menjunjung prinsip perpaduan, seperti diamanahkan mantan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya. 

Saifuddin menarik perhatian, rakyat tidak memerlukan ‘Ayah Pin baharu’ yang kononnya mahu menjadi jurucakap Tuhan. 

“Kita perlukan pemimpin yang bercakap soal dasar, solusi dan masa depan rakyat – bukan retorik wahyu politik.

“Semua pemimpin perlu berhenti mempermainkan agama dalam perdebatan politik dan kembali kepada politik yang waras, matang serta bertamadun,” katanya. 

@adan_dyna

balum PMx, ini apa yg di ucap oleh ketua bahagian umno dalam persidangan umno cawangan, subang

♬ Background Music(815729) - Pavel

Satu video yang memperlihatkan Armand mengecam Perdana Menteri tular di beberapa platform media sosial termasuk X dan TikTok.

Menerusi petikan video berdurasi lebih seminit itu, Armand menghadiri Mesyuarat UMNO Cawangan USJ 5 dan memberikan ucapan. 

Antara lain beliau mendakwa, rakyat baru menyedari bahawa Anwar bukan Perdana Menteri yang diharapkan selama ini. - Getaran, 20 Mei 2025