Guna nuklear cipta baka ubi kayu baharu

TechnologyEnvironment
1 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Guna nuklear cipta baka ubi kayu baharu

BUNYI dentuman yang kuat diiringi ledakan bahan api yang mampu mengancam jutaan nyawa antara gambaran situasi apabila memperkatakan tentang nuklear.

Ketakutan terhadap perkara itu semakin menebal apabila beberapa kuasa dunia melihat tenaga nuklear sebagai senjata yang bukan sahaja berfungsi untuk pertahanan tetapi turut berupaya membawa kemusnahan besar serta mengancam keselamatan manusia sejagat.

Disebabkan hal itu sering diperkatakan, masyarakat tidak sedar bahawa nuklear juga sebenarnya mampu membantu untuk mendapatkan baka tanaman yang lebih berkualiti tinggi sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.

Pegawai Penyelidik Bahagian Agroteknologi & Biosains Agensi Nuklear Malaysia, Norazlina Noordin berkata, penyelidikan yang bermula pada 2021 telah membuka lembaran baharu dalam usaha menghasilkan baka ubi kayu tempatan yang lebih cepat matang, mempunyai hasil tinggi, berupaya menghadapi cabaran penyakit dan perubahan cuaca.

Daripada mengambil masa hampir setahun untuk mendapatkan hasil, tanaman ubi kayu kini berpotensi dituai seawal enam bulan menerusi penyelidikan menggunakan aplikasi teknologi nuklear yang dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia.

“Objektif kami adalah untuk mengurangkan masa penuaian dan alhamdulillah setelah lima ke enam tahun penyelidikan, kami mendapat beberapa jenis baka baharu yang mampu memendekkan masa tuai.

“Ini merupakan projek kerjasama antara Agensi Nuklear Malaysia dengan Jabatan Pertanian Malaysia dan mendapat sokongan daripada Atom Malaysia selain mendapat dana geran penyelidikan daripada Agensi Tenaga Atom

Antarabangsa sebanyak RM100,000 untuk digunakan sepanjang tempoh lima tahun kajian dilakukan.

“Daripada penyelidikan, kami memerlukan tanah untuk melakukan kajian dan proses penjagaan tanaman itu dilakukan oleh pihak Jabatan Pertanian Malaysia,” katanya kepada K-Tekno ketika ditemui dalam majlis Program

Advokasi Nuklear: Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) @ Wanita di RekaScape, Cyberjaya baru-baru ini.

Image from: Guna nuklear cipta baka ubi kayu baharu
Ubi kayu nuklear yang ditanam dalam Program Advokasi Nuklear: Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) @ Wanita berjaya dituai dalam tempoh lebih singkat berbanding ubi kayu biasa.

Sebelum tanaman ditanam, keratan ubi kayu akan menjalani proses aruhan sinaran gama dan ditanam seperti biasa dengan pemantauan petani dan pakar berkaitan.

Kata Norazlina, masyarakat tidak perlu bimbang kerana aplikasi teknologi nuklear yang digunakan selamat dan tidak menyebabkan tanaman terdedah kepada kandungan radiasi yang berbahaya.

“Tugas ini dilakukan sangat hati-hati dan selamat kerana tanaman hanya terkena aruhan sinaran gama untuk mendapatkan baka tanaman baharu yang bersesuaian.

“Tanaman akan diuji untuk mengetahui tahap daya tahan dengan penyakit, perubahan cuaca, ancaman perosak. Sekiranya tanaman berupaya lulus ujian, maka ujian ini berjaya,” katanya.

Di sebalik kejayaan menghasilkan baka baharu, proses penyelidikan memerlukan kesabaran tinggi kerana perubahan genetik yang berlaku secara rawak menerusi saringan dalam jumlah besar kira-kira 1,000 pokok.

Setiap keratan perlu disediakan, disinarkan (teknologi nuklear) satu per satu sebelum ditanam dan dipantau bagi memastikan ciri yang diperoleh adalah stabil.

Sekiranya sesuatu ciri didapati tidak stabil atau tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, proses saringan perlu diteruskan dan ini menyebabkan tempoh penyelidikan menjadi lebih panjang.

“Sekiranya segala proses berjalan lancar, baka ubi kayu matang awal itu berpotensi mengambil masa sekitar dua tahun lagi sebelum dapat dikomersialkan kepada orang awam.

“Proses penjagaan tanaman seperti kadar siraman air dan baja pula ditentukan mengikut tahap ketahanan benih pokok. Bagaimanapun, pihak kami bekerja rapat dengan pihak pertanian kerana setiap peringkat tanaman akan dipantau keperluan tanaman terhadap air dan baja,” katanya.

Dalam pada Agensi Nuklear Malaysia agresif menjalankan kajian terhadap manfaat tenaga nuklear terhadap tanaman kajian seperti padi, ubi kayu, pisang dan ubi keledek, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memainkan peranan dalam membangunkan kesedaran tentang keselamatan penggunaan nuklear pada tanaman.

Image from: Guna nuklear cipta baka ubi kayu baharu
MUHAMMAD RAWI (kiri) dan Safida Zalma (kanan) bersama tanaman ubi kayu nuklear ketika ditemui di Cyberjaya baru-baru ini.

Menerusi program yang turut mendapat kerjasama rakan strategik, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) serta sokongan rakan pelaksana daripada Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dan Pusat Sains Negara (PSN), Program Advokasi Nuklear: Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) @ Wanita menjadi platform untuk merealisasikan perkara itu.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Datin Safida Zalma Mohd. Piah, gambaran tentang letupan besar, radiasi dan tragedi mungkin antara perkara pertama yang muncul dalam fikiran masyarakat.

Persepsi itu bukan sesuatu yang asing kerana teknologi nuklear sering dikaitkan dengan beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku di seluruh dunia.

Namun, di sebalik pandangan negatif tersebut, teknologi nuklear mempunyai pelbagai aplikasi yang dekat dengan kehidupan manusia daripada bidang perubatan dan pertanian hinggalah kepada potensi penjanaan tenaga pada masa hadapan.

Menyedari pentingnya masyarakat memahami sisi sebenar teknologi tersebut, usaha advokasi dan pendedahan mengenai aplikasi nuklear perlu diperluas termasuk kepada golongan muda dan kanak-kanak.

“Masyarakat mungkin tidak menyedari bahawa terdapat pelbagai aplikasi saintifik yang menggunakan teknologi tersebut untuk tujuan bermanfaat.

“Atas sebab itu kami berusaha memberi penerangan kepada masyarakat supaya teknologi nuklear dapat difahami berdasarkan fakta dan bukti, bukan semata-mata persepsi atau gambaran negatif,” katanya.

Penyelidikan mendapati teknologi nuklear boleh digunakan untuk membantu menghasilkan bahan tanaman dengan ciri-ciri yang lebih baik seperti tahan penyakit, mempunyai hasil tinggi dan mampu menyesuai dengan perubahan persekitaran.

Image from: Guna nuklear cipta baka ubi kayu baharu
Pemantauan dilakukan terhadap tanaman ubi kayu nuklear yang dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia.

Menurut Safida Zalma, perkembangan penyelidikan dalam bidang pertanian menunjukkan bahawa teknologi itu boleh memberi manfaat besar kepada sektor makanan negara.

“Malaysia pernah dikenali sebagai antara negara yang aktif dalam industri eksport pisang. Namun, ancaman penyakit terhadap tanaman memberi cabaran besar kepada pengeluar.

“Teknologi nuklear berpotensi membantu sektor pertanian menghasilkan bahan tanaman yang lebih berdaya tahan dan sekali gus menyokong usaha memperkukuh semula industri pisang tempatan. Seterusnya, kita berharap

Malaysia dapat kembali menjadi antara negara yang aktif mengeksport pisang ke luar negara,” katanya.

Teknologi nuklear dilihat mampu memainkan peranan penting dalam usaha menghasilkan bahan tanaman lebih berkualiti untuk memenuhi keperluan makanan dan ekonomi negara.

Namun, menghasilkan satu baka atau benih baharu bukanlah proses yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, tempoh penyelidikan bergantung jenis tanaman serta kitaran pertumbuhannya.

Tanaman yang mempunyai tempoh tuaian lebih pendek membolehkan penyelidik melengkapkan kitaran kajian dalam tempoh yang lebih singkat, manakala tanaman yang mengambil masa lama untuk matang memerlukan tempoh penyelidikan lebih panjang.

“Sebagai contoh, padi ambil masa kira-kira enam hingga sembilan bulan untuk satu kitaran. Sekurang-kurangnya kita perlukan beberapa kitaran kajian bagi memastikan ciri yang dihasilkan benar-benar stabil dan memenuhi kehendak yang ditetapkan.

“Proses ini bukan semudah yang disangka kerana kita perlu mematuhi prosedur operasi standard serta syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan pertanian.

“Kerjasama dalam melakukan penyelidikan termasuklah mendapatkan kawasan bagi plot tanaman yang bersesuai untuk menjalankan ujian saringan di lapangan. Kita perlu bekerjasama dengan pihak berkaitan kerana mereka juga mempunyai peranan dalam proses pengesahan sebelum sesuatu benih dapat diperkenalkan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, kebimbangan terhadap radiasi pada tanaman yang berkemungkinan menjejaskan kesihatan antara perkara yang sering menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear dalam bidang pertanian.

Hakikatnya, dalam dunia perubatan moden penggunaan sinaran hasil teknologi nuklear sudah menjadi sebahagian daripada kaedah penting untuk membantu doktor mengesan penyakit pesakit.

Profesor Jabatan Pengimejan Perubatan, School of Integrative Medicine & Life Sciences, KPJ Healthcare University, Prof. Ts. Dr. Norhayati Mohd Zain, berkata, masyarakat masih dibelenggu pelbagai mitos mengenai penggunaan sinaran.

“Sinaran banyak membantu kita dalam mengesan penyakit, termasuk mengesan kanser pada peringkat awal. Namun, ramai yang masih menganggap ia hanya mendatangkan kesan negatif tanpa memahami bagaimana ia digunakan dalam bidang perubatan,” katanya.

Menurut Dr. Norhayati, penggunaan sinaran dalam penyelidikan tanaman dilakukan dengan tujuan menghasilkan variasi atau baka yang mempunyai ciri-ciri tertentu seperti lebih tahan penyakit atau menghasilkan kualiti yang lebih baik.

“Saya yakin setiap kajian mempunyai sukatan dan dos tertentu yang telah ditetapkan dan mereka tidak sewenang-wenangnya membahayakan masyarakat.

“Sebelum sesuatu aplikasi digunakan, penyelidik perlu melihat kesannya dan menentukan dos yang bersesuaian dengan objektif yang ingin dicapai.

“Saya faham jika masyarakat takut kerana mungkin sebilangan kita agak baharu dengan teknologi ini. Jadi disebabkan itu, pendidikan teknologi nuklear dalam sektor pertanian itu penting,” katanya.

Dr. Norhayati turut tidak menolak ada yang menganggap tanaman yang pernah melalui proses penyinaran akan terus menjadi radioaktif atau membahayakan pengguna.

“Berdasarkan kefahaman saya, sinaran pada tanaman digunakan pada peringkat tertentu untuk menghasilkan variasi atau baka baharu.

“Proses itu tidak bermaksud produk akhir akan terus mengandungi radioaktif hanya kerana bahan tanaman pernah melalui proses penyinaran,” ujarnya.

The post Guna nuklear cipta baka ubi kayu baharu appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved