
Guna Pembesar Suara Masjid Untuk Azan & Iqamah Sahaja – Mufti Pulau Pinang
SHAH ALAM — Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memaklumkan bahawa pembesar suara masjid sepatutnya hanya digunakan untuk laungan azan dan iqamah sahaja, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, komuniti setempat dibimbangi terganggu sekiranya penggunaan alat tersebut digunakan untuk aktiviti masjid yang lain.
“Untuk Pulau Pinang kita tidak wartakan. Ia terpulang pada budi bicara kariah masjid atau surau tetapi seboleh-bolehnya pembesar suara luar masjid digunakan hanya untuk laungan azan dan iqamah kerana itu sebagai lambang Islam.
“Kita nak beribadat buat apa kita ganggu orang, dia tidak datang ke masjid kerana tidak bersedia untuk dengar tazkirah, ceramah dan sebagainya. Kalau dia nak datang ke masjid kita benar dia guna pembesar suara dalam,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, isu berkenaan sepatutnya tidak dibangkitkan. Meskipun penggunaan pembesar suara dibenarkan untuk aktiviti mengaji dan ceramah suatu ketika dahulu.
“Suasana berubah, fatwa juga kena berubah. Walaupun Pulau Pinang tidak gazetkan, cuma kita nasihatkan kariah-kariah tidak menggunakan pembesar luar untuk aktiviti lain selain azan dan iqamah.
“Ini kerana kita ada terima aduan daripada penduduk berdekatan dengan masjid atau surau. Ada orang sakit, warga emas uzur, anak-anak kecil, orang nak berehat balik kerja dan pelajar hendak ulangkaji pelajaran, jadi ada rungutan itu.
“Jadi kita tidak boleh ikut semangat kita sahaja, kena ambil kira suasana yang sekarang. Berbeza di kampung dulu antara masjid dengan rumah jauh-jauh. Jadi sebelum subuh nak baca al-Quran dan sebagainya untuk guna pembesar suara luar tidak jadi masalah.
“Tapi sekarang di bandar, kawasan perumahan begitu hampir dengan masjid jadi kena fahamlah. Jika keadaan dan situasi berubah, fatwa juga boleh berubah,” katanya lagi.
Larangan Pembesar Suara Luar Semasa Ceramah Sejak 2017
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan arahan kepada pihak pengurusan masjid dan surau seluruh negeri itu untuk tidak menggunakan pembesar suara luar bagi sesi kuliah yang dijalankan sejak 2017, lapor Bernama.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan perkara tersebut pada 16 Oktober 2017.
Tambahan lagi, notis larangan penggunaan alat itu telah dikeluarkan sejak 23 Oktober 2017.
Sumber: Sinar Harian
The post Guna Pembesar Suara Masjid Untuk Azan & Iqamah Sahaja – Mufti Pulau Pinang appeared first on Siakap Keli.


