
KUALA LUMPUR - Malaysia menyambut baik pendirian Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk menggunakan wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye, khususnya dalam membentuk satu kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke tengah pentas dunia.
Menurut beliau, Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan.
Pendirian itu katanya, disampaikan kepada Erdogan menerusi perbualan telefon semalam.
“Saya lantas menyatakan penghargaan kepada beliau atas suara dan pendirian teguh beliau yang konsisten dalam memperjuangkan suara warga Palestin yang tertindas.
“Kami selanjutnya berbicara mengenai kunjungan rasmi beliau ke Malaysia baru-baru ini yang tidak hanya membekas, malah memperkukuh asas hubungan dua hala yang telah lama terjalin,” katanya.
Jelas Anwar, ia merupakan antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara.
“(Lawatan itu) tidak sekadar pertukaran protokol, tetapi turut disulami dengan rundingan yang substantif yang menyentuh kepentingan bersama.
“Saya melihat kunjungan itu sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju yang jitu kedua-dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menerima panggilan daripada Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian yang mengucapkan selamat sempena sambutan Aidiladha.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan mendalam atas usaha dan ketegasan beliau yang konsisten mempertahankan nasib warga Palestin khususnya di Gaza yang saban hari dibantai dan dizalimi rejim Zionis Israel.
“Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran warga Gaza,” katanya.
Tegas Anwar, dasar luar negara Malaysia tidak ditentukan oleh kuasa-kuasa luar, sebaliknya terbina atas dasar kepentingan nasional dan keyakinan yang teguh.
“Malaysia mengecam kemunafikan negara-negara tertentu yang mendabik dada kononnya menjunjung hak asasi, namun secara diam membenarkan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang tindakan yang bermaruah.
“Bungkam kepada kezaliman adalah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” katanya. - Getaran, 6 Jun 2025
