Guna teknologi NFC kenal pasti penduduk terjejas akibat krisis bekalan tenaga

LocalTechnology
27 May 2026 • 11:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guna teknologi NFC kenal pasti penduduk terjejas akibat krisis bekalan tenaga
Mohamad Hairul Amir (tengah) bersama Muhammad Khalish (kiri) ketika gimik pelancaran kad NFC Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penduduk Taman Medan Klebang Pertama di sini baru-baru ini.
Image from: Guna teknologi NFC kenal pasti penduduk terjejas akibat krisis bekalan tenaga
Mohamad Hairul Amir (duduk, tengah) bersama jawatankuasa serta ahli Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama bergambar bersama sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penduduk Taman Medan Klebang Pertama di sini baru-baru ini.

IPOH - Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama tampil dengan inisiatif pendigitalan menerusi penggunaan kad komunikasi medan dekat (NFC) bagi membantu mengenal pasti penduduk yang berpotensi terjejas susulan krisis bekalan tenaga global.

Pengerusinya, Muhamad Khalish Nantha Rajendran berkata, penggunaan teknologi itu membolehkan persatuan merekod dan memantau data ahli secara berpusat sekali gus memudahkan penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, sistem berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh jawatankuasa persatuan tanpa melibatkan kos tinggi kerana menggunakan kepakaran dalaman khususnya daripada biro teknologi maklumat (IT) persatuan.

“Hari ini merupakan satu sejarah buat Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama kerana ini mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama kami selepas hampir setahun penubuhan persatuan.

**media[3533101]**

“Antara kelainan yang kita tampilkan ialah penggunaan kad NFC sendiri yang dibangunkan secara dalaman. Ia menjadi pusat sehenti yang mengintegrasikan semua maklumat ahli dalam satu sistem,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penduduk Taman Medan Klebang Pertama di sini baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri.

Muhamad Khalish berkata, selain menyimpan data ahli, kad NFC itu turut dilengkapi kemudahan akses pantas kepada nombor kecemasan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dalam kawasan sekitar Chemor.

Katanya, sistem itu turut menyokong agenda pendigitalan usahawan kecil setempat menerusi platform e-usahawan yang membolehkan penduduk mengakses terus peniaga tempatan melalui pautan WhatsApp.

“Setakat ini terdapat kira-kira 12 usahawan kecil tempatan dalam sistem ini termasuk peniaga makanan dan tukang jahit.

“Selain itu, ahli juga boleh menyemak status keahlian, rekod pembayaran yuran serta melihat sijil digital mereka melalui satu sentuhan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, daripada sekitar 154 hingga 158 unit rumah di kawasan itu dengan anggaran 300 hingga 400 penduduk, hampir 100 sudah berdaftar sebagai ahli persatuan.

Katanya, seramai 95 hingga 96 ahli berdaftar akan menerima kad NFC tersebut dalam AGM berkenaan sebagai fasa awal pelaksanaan.

Mengulas mengenai krisis bekalan tenaga global, beliau berkata, sistem data berpusat itu membolehkan persatuan mengenal pasti lebih awal mana-mana ahli yang berdepan tekanan ekonomi atau memerlukan bantuan segera.

“Data ialah perkara paling penting dalam pendigitalan. Dengan sistem ini, kita boleh pantau siapa yang memerlukan bantuan dan bertindak lebih cepat.

“Walaupun setakat ini belum ada penduduk yang kehilangan pekerjaan akibat kesan langsung krisis tersebut, kita sudah bersedia dengan jaringan kerjasama bersama Pusat Khidmat Parlimen Tambun, Pusat Khidmat DUN Manjoi serta pemimpin tempatan untuk menyalurkan bantuan jika diperlukan,” katanya.

 

View Original Article