Gunung Berapi Fuego meletus, Guatemala keluar amaran kecemasan

WorldEnvironment
4 Aug 2026 • 7:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gunung Berapi Fuego meletus, Guatemala keluar amaran kecemasan

GUATEMALA CITY: Pihak berkuasa Guatemala mengeluarkan tahap amaran kecemasan kedua tertinggi selepas Gunung Berapi Fuego yang paling aktif di Amerika Tengah meletus dengan kuat sehingga memaksa penduduk di beberapa kampung berhampiran dipindahkan.

Gunung berapi itu mula meletus pada pagi Isnin dan aktiviti letusan semakin meningkat menjelang malam, memuntahkan aliran lava serta kepulan abu besar sehingga kira-kira enam kilometer ke udara.

“Amaran bahaya tahap oren diisytiharkan di seluruh negara susulan letusan Gunung Berapi Fuego,” kata agensi penyelarasan bencana Guatemala, Conred menerusi platform X.

Tahap amaran itu berada satu tahap di bawah amaran merah, yang menandakan keadaan kecemasan paling serius.

Pegawai mula memindahkan penduduk dari dua kampung berhampiran gunung berapi itu pada Isnin. Fuego terletak kira-kira 35 kilometer dari ibu negara Guatemala City.

Rakaman yang dikeluarkan pasukan kecemasan menunjukkan letusan kuat itu menyebabkan awan bertukar merah dan lava mengalir turun di cerun gunung berapi setinggi 3,763 meter itu.

Institut Vulkanologi Guatemala memberi amaran mengenai aliran serpihan gunung berapi panas yang boleh turun di sepanjang cerun Fuego, dengan komuniti di bahagian barat dan selatan gunung itu berada pada risiko tertinggi.

Kementerian Pendidikan mengarahkan penangguhan kelas secara bersemuka di beberapa komuniti dalam dua kawasan perbandaran berhampiran gunung berapi sebagai langkah berjaga-jaga.

Polis trafik turut menutup jalan yang mengelilingi kawasan pergunungan itu yang menghubungkan pantai selatan dengan bandar kolonial Antigua, destinasi pelancongan utama negara itu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Institut Vulkanologi melaporkan kepulan abu meningkat melebihi 6,000 meter, menyebabkan abu turun di beberapa komuniti berhampiran.-AFP

The post Gunung Berapi Fuego meletus, Guatemala keluar amaran kecemasan appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved