Gunung Kinabalu Sudah Jadi Milik Filipina?

1 Aug 2022 • 2:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahli politik Filipina yang menjual atau mengguna isu mengenai tuntutan Sabah melalui hak Kesultanan Sulu ini akan mendapat manfaat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Gunung Kinabalu yang terletak di Kota Belud, Sabah sememangnya diketahui milik mutlak Malaysia.

Jika ditanya kepada sesiapa pun, jawapan diberikan pastinya puncak tertinggi di Malaysia dan Pulau Borneo dengan paras 4,095 meter itu kepunyaan negara.

Malah, gunung berkenaan menjadi lambang kemegahan kepada rakyat Malaysia, khususnya penduduk Negeri Di Bawah Bayu itu.

Namun, hantaran dimuat naik sebuah akaun Facebook yang sering memaparkan pembangunan dan keindahan negara ASEAN, iaitu ASEAN Skyline sejak kelmarin menimbulkan kemarahan ramai.

Tanpa rasa bersalah, akaun berkenaan mendakwa Gunung Kinabalu terletak di Filipina, justeru ia menjadi milik negara terbabit.

Perkongsian status terbabit memaparkan foto Gunung Kinabalu, disusuli keterangan yang mendakwa lokasi itu terletak di Filipina dan turut disertai logo bendera negara berkenaan.

“Pemandangan Cantik, Gunung Tertinggi di Filipina, Bundok (Gunung) Kinabalu Sabah, Filipina, Kesultanan Sulu dan Borneo Utara,” tulis ‘pentadbir’ akaun berkenaan di foto itu.

Setakat jam 1.30 petang ini, hantaran itu menerima 4,100 emotikon suka dan ketawa, selain 4,600 komen serta dikongsi 2,500 orang.

Bagaimanapun, menerusi maklum balas diminta Getaran daripada beberapa pakar bidang, mereka berpendapat isu terbabit tidak sepatutnya dilayan kerana ia seolah-olah sengaja mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat, selain bermotifkan politik.

Pakar Geostrategis, Profesor Madya Dr Azmi Hasan berkata, selagi tuntutan berhubung Gunung Kinabalu itu tidak dibuat secara rasmi oleh kerajaan Filipina, ia tidak seharusnya diberi perhatian serius.

“Kita (rakyat Malaysia) hanya perhatikan saja tindak tanduk mereka membuat tuntutan dianggap tidak senonoh itu kerana ini dilakukan individu yang berkemungkinan besar rakyat Filipina. Di negara berkenaan, ahli politik jika menjual atau mengguna isu mengenai tuntutan Sabah melalui hak Kesultanan Sulu ini akan mendapat manfaat.

“Jadi ini tidak menghairankan mengapa ada rakyat Filipina masih membuat tuntutan seperti itu dan bagi kita, kita tak perlu layan sangat ataupun terguris, selagi tuntutan rasmi itu tidak dibuat kerajaan negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.

Beautiful Scenery 🇵🇭 Tallest Mountain of the Philippines. Bundok Kinabalu Sabah, Philippines. 📍 Sultanate of Sulu and North Borneo 🇵🇭

Posted by ASEAN Skyline on Saturday, July 30, 2022

Azmi yang juga Felo Kanan Akademik Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) menegaskan, situasi tuntutan itu sama seperti dakwaan 90 peratus Laut China Selatan adalah hak milik China, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Katanya, walaupun China tidak membuat tuntutan rasmi berhubung dakwaan itu, mereka melakukannya secara tersirat atau fizikal, dengan menceroboh ZEE Malaysia.

Beliau berkata, memandangkan ia berkemungkinan tuntutan separa rasmi, Malaysia sudah membuat bantahan diplomatik berhubung dakwaan China terbabit.

“Jadi sama juga dengan tuntutan Sabah melalui isu berkaitan Kesultanan Sulu ini, selagi Manila tidak membuat tuntutan rasmi, kita hanya perhati sajalah.

“Ini adalah modal politik (dibuat) ahli politik mereka dan sudah pasti boleh terpengaruh kepada rakyat Filipina itu sendiri,” katanya.

Menurut Pakar Undang-Undang dan Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah, dakwaan Gunung Kinabalu terletak di Filipina itu tidak memberi kesan politik kepada hubungan kedua-dua negara.

Jelasnya, ia hanya ‘mainan’ pihak berkepentingan untuk sengaja mewujudkan perang siber.

Pada masa sama, beliau berkata, dakwaan itu adalah perang parodi yang sedang berlaku di media sosial.

“Sebagai contoh ada meletakkan Burj Khalifa (pencakar langit) di Dubai sebagai kononnya terletak di London,” katanya.

Sementara itu, meninjau ke ruangan komen hantaran media sosial terbabit, kebanyakan netizen, terutama dari Malaysia meluahkan ‘geram’, kesal dan tidak bersetuju dengan keterangan serta dakwaan terbabit.

“Teruskan bermimpi membuat dakwaan, itu sahaja yang boleh anda lakukan,” komen Duffy Halim.

“Sebagai rakyat Sabah, saya tidak mahu Filipina,” tulis Effaridah Abbie.

“Berhenti bermimpi Filipina, kami tak mahu menjadi sebahagian daripada negara anda, kami rakyat Sabah pilih Malaysia,” respon pula Zainor Zai.

“Tidak, terima kasih saja lah, Filipina bagus tapi Malaysia jauh lebih baik. Biarkan kami jadi sebahagian daripada Malaysia,” kata Syahril Osman.

Ada juga segelintir netizen berkongsi gambar beberapa lokasi di Filipina menerusi komen mereka dengan mendakwa kononnya ia terletak di Malaysia, sebagai tindak balas ‘sarkastik’ dan ‘sindiran’.

“Selamat datang ke Palawan Island, MALAYSIA,” perli Mohd Nur Huzaifa Vylee menerusi gambar dikongsikannya walaupun diketahui pulau terbesar di wilayah Palawan itu terletak di Filipina.

Sama juga dengan beberapa komen ditulis netizen, antaranya, ‘selamat datang ke city cebu, Malaysia’; ‘keindahan Jolo, bandar di Sulu, Malaysia’ dan ‘kita ada Makati City, Malaysia’.

Ada juga netizen membuat jenaka dengan berkongsi gambar Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Filipina dengan mengatakan ‘selamat datang ke lapangan terbang antarabangsa Malaysia’.

Bukan itu sahaja, ada pengguna bergurau dengan meminta rakyat Malaysia berhenti daripada menonton rancangan, filem dan drama dari negara berkenaan susulan isu sama.

“Lepas ini tolong jangan tengok cerita/filem/drama dari Filipina lagi,” katanya. - Getaran, 1 Ogos 2022

View Original Article