Gurauan Yang Melampau Dengan Kawan Boleh Dianggap Buli – Polis

LocalPolitics
26 Sep 2025 • 10:36 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan tindakan sekumpulan pelajar lelaki dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak, menghentak bahagian kelangkang dan alat sulit seorang lelaki pada sebatang tiang papan tanda.

Menerusi video itu, hentakkan tersebut dilakukan sebanyak empat kali dan kedengaran suara lelaki itu mengerang kesakitan sambil rakan lain tertawa dengan insiden itu.

Polis kemudiannya memaklumkan ibu bapa serta pelajar berkenaan telah hadir ke balai dan menjelaskan insiden tersebut adalah gurauan bersama rakan-rakan jurusan Automotif bersempena dengan hari ulang tahunya pada 19 September lalu.

Menurutnya perkara itu dilakukan tanpa sebarang unsur paksaan mahupun penderaan.

Orang muda diingatkan gurauan keterlaluan boleh dianggap perbuatan buli

Terbaharu Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengingatkan golongan muda agar tidak memandang enteng gurauan yang keterlaluan di antara rakan.

Ini kerana perkara itu boleh dianggap sebagai perbuatan buli dan memberi kesan buruk kepada masa depan pelajar.

Jelas beliau lagi, meskipun insiden di IKBN itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) ekoran mangsa dan keluarga tidak mahu meneruskan laporan, namun polis memandang serius mengenai kejadian berkenaan.

“Pelajar hadir ke sekolah atau institut pengajian untuk belajar, bukan untuk buli. Kalau nak main-main pun, jangan sebabkan orang luar melihat perkara ini serius.

“Maksudnya, walaupun nampak seperti gurauan secara kasar, ia tetap perbuatan buli,” ujarnya, lapor Sinar Harian yang memetik Bernama.

Mangsa jalani pemeriksaan perubatan, tiada kecederaan

Menurutnya kertas siasatan sudah dibuka serta semua pihak termasuklan mangsa, ibu bapa dan rakan-rakan terbabit dipanggil bagi memberikan keterangan.

Mangsa juga menjalani pemeriksaan perubatan yang mengesahkan tiada sebarang kecederaan.

Orang ramai diminta jangan rakam atau sebar video insiden kerana galakkan budaya negatif

Mancha Ata turut meminta orang ramai supaya tidak merakam dan menyebarkan video insiden seperti itu kerana ia menggalakkan budaya negatif di kalangan pelajar.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Lim San Aik menjelaskan meskipun mangsa serta bapanya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kes, polis masih akan merujuk hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

Source: