
Kota Kinabalu: Seorang guru agama Pusat Pendidikan Islam berumur 29 tahun didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid berusia 11 tahun.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, kepada pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan dengan meraba payudara dan menyentuh paha kanak-kanak itu antara jam 7.30 malam dan 9.30 malam pada Mac 2022 di Pusat Pendidikan Islam, di sini.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan kanak-kanak itu antara jam 7.30 malam dan 9.30 malam pada Januari tahun ini di tempat sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu akan menghadapi hukuman tambahan mengikut Seksyen 16(1) Akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 24 Mac tahun ini untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan perubatan, dan lelaki itu dilepaskan dengan jaminan RM5,000 berserta dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah juga mengenakan beberapa syarat iaitu, lelaki itu mesti menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap hari pertama bulan dan dia dilarang menghubungi atau mengganggu mangsa atau keluarganya dalam apa cara sekalipun sehingga perbicaraan kes selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus dan Najiha Farhana Che Amat hadir untuk pendakwaan, manakala peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali mewakili lelaki itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


