Guru Bahasa Melayu, Inggeris paling ramai bersara awal - KPM

13 Jun 2023 • 3:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fadhlina Sidek - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara paling ramai yang memohon bersara awal sejak dua tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia diikuti oleh guru Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Sejarah dengan jumlah keseluruhan seramai 6,890 pegawai.

“Berdasarkan rekod KPM, bilangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu iaitu 2,862, Bahasa Inggeris (1,146) dan Matematik (1,015).

“Ia diikuti guru Pendidikan Islam (755), Sains (629) dan Sejarah (483). Bagi tahun 2023, kelulusan permohonan bersara pilihan masih dalam pertimbangan pihak agensi pusat,” katanya menerusi teks jawapan lisan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Parlimen pada Isnin.

Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan Zulkifli Ismail (Jasin-PN) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan statistik permohonan bersara pilihan dalam kalangan PPP secara perbandingan mengikut bidang kepakaran (opsyen) daripada tahun 2021 hingga 2023.