
SHAH ALAM - Persatuan Alumni Sultan Ibrahim School (ASIS) sekali lagi mengadakan perjumpaan antara bekas pelajar dan guru di Kelab Golf Perkhidmatan Tadbir (KGPA), Kuala Lumpur pada Ahad sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 66 tahun ini.
Majlis ASIS Merdeka Countdown Reunion bertemakan Kau Selalu Di Hati Ku itu bertujuan mengeratkan hubungan bekas warga Sultan Ibrahim School (SIS), Pasir Mas, Kelantan yang kebanyakan bermastautin di sekitar Lembah Klang.
Pengerusi ASIS, Mohamad Zain Ibrahim berkata, mereka sebelum ini telah berkumpul pada 27 Mei lalu di Grand Riverview Hotel di Kota Bharu, Kelantan.
“Kini kami bertemu dalam suasana santai di mana bekas guru-guru yang pernah bertugas di Pasir Mas telah meluahkan rasa gembira dapat melihat ramai bekas murid SIS telah berjaya dalam berbagai bidang masing-masing.
“Antara yang hadir termasuklah guru besar kesayangan semua, Cikgu Rahman Ali, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman yang juga bekas pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SIS selama 20 tahun), Mr Thanda, Mr Maniam dan Mr Kim Swee.
“Kami juga diperdengarkan rakaman suara kiriman seorang bekas guru, Mr V V George yang tidak dapat hadir dengan menyatakan bahawa ‘SIS Pasir Mas was the best part of my life!’ dan muridnya sentiasa menyantuni guru-guru mereka sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Zain Ibrahim yang mesra dengan panggilan Abe Zain menggantikan pengerusi pertama ASIS, Allahyarham Tan Sri Zaman Khan yang kembali ke Rahmatullah pada 11 September 2021.
Majlis tersebut diserikan dengan persembahan nyanyian dan kumpulan muzik dari kalangan bekas murid selain masing-masing menandatangani satu kain rentang untuk dipamerkan semasa program karnival ASIS di sekolah berkenaan nanti.

