Pengecualian menerima kenaikan gred secara automatik
Guru Bermasalah Akan Dikecualikan Kenaikan Pangkat ‘Time Based’ – Anwar Ibrahim. Dilaporkan bahawa warga pendidik yang mempunyai masalah disiplin dan cuai dalam tugas perlu dikecualikan daripada menerima kenaikan gred secara automatik atau ‘time-based’, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, golongan berkenaan tidak sewajarnya menerima manfaat berkenaan sungguh pun sistem kenaikan time-based sudah diberi kepada warga pendidikan, khususnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sejak beberapa tahun lalu.

Betul ada yang ikut time-based ini, prinsipnya kita terima, naikkan pangkat ikut waktu, betul kita terima. Tapi tidak semua.
“Kalau disiplinnya lemah, kalau dalam setahun dia tak pergi sekolah banyak kali, saya nak batalkan peraturan itu untuk mereka.
“Maknanya kenaikan pangkat automatik itu dari segi hukumnya, tetapi dikecualikan bagi yang cuai atau melanggar disiplin. Ada yang prestasinya sangat lemah, jadi kita harus teliti perkara ini. Tapi saya percaya yang 90 peratus lebih itu tidak mempunyai masalah,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), pada hari ini.

Memutuskan pelaksanaan kenaikan pangkat
Pada 1 Julai 2009, kerajaan telah memutuskan pelaksanaan kenaikan pangkat secara time-based bagi pegawai kumpulan pelaksana yang sudah berkhidmat 15 tahun dan lebih dalam skim perkhidmatan semasa secara Khas Untuk Penyandang (KUP).
Dalam masa yang sama, Anwar berkata, untuk melonjakkan ekonomi dan pertumbuhan negara, penekanan lebih baik terhadap penguasaan subjek Bahasa Inggeris wajar diberi perhatian oleh semua pihak, khususnya murid dan guru.
Jangan pertikai saya dalam soal Bahasa Kebangsaan. Dasar Pendidikan kebangsaan jangan pertikaikan. Tapi selagi rakyat terima prinsip ini, soal Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab atau bahasa lain mahu dikembangkan silakan. Kita kena beri dokongan dan ruang sebaiknya.
“Untuk melonjakkan ekonomi dan pertumbuhan negara, kita patut beri penekanan khusus Bahasa Inggeris. Ini masa pendigitalan, transisi tenaga, transformasi digital, AI (kecerdasan buatan).
“Jagalah kepentingan anak-anak kita, maka penguasaan Bahasa Inggeris itu harus jauh lebih baik daripada sekarang,” ujar beliau lagi.

