
KUALA NERANG: Meskipun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga, seorang guru tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Parlimen Padang Terap di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Naka dekat sini hari ini.
Siti Najuwa Md Azmi, 32, yang berkhidmat di sebuah sekolah di Pulau Pinang tiba di pusat pengundian tersebut pada 8.30 pagi sambil mendukung bayi lelakinya yang berusia 40 hari.
Bercakap kepada pemberita selepas mengundi, Siti Najuwa berkata beliau gembira dapat menunaikan tanggungjawab kepada negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Anak saya masih menyusu badan. Jadi, saya rasa mudah sekiranya saya membawanya ke pusat mengundi. Pada mulanya saya beratur bersama pengundi yang lain namun kemudian diberikan laluan mudah untuk mengundi terlebih dahulu oleh pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya.
Siti Najuwa berkata beliau akan pulang ke Pulau Pinang bersama suaminya Muhammad Hamizi Merican selepas mengundi bagi membolehkan suaminya pula mengundi di negeri itu.
Siti Najuwa antara 3,095 pengundi berdaftar yang mengundi di SK Naka.
Dalam pada itu, calon Barisan Nasional bagi Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid dan calon Perikatan Nasional di Parlimen sama, Nurul Amin Hamid turut mengundi di pusat pengundian tersebut.
Mereka tiba bersama isteri masing-masing pada 8.55 pagi dan 9 pagi.
Di TASEK GELUGOR, Pulau Pinang, seorang peniaga makanan yang baru bersalin sembilan hari lepas, Siti Hajar Che Jailani, 31, berkata beliau berazam keluar mengundi walaupun masih dalam pantang demi tanggungjawabnya kepada negara.
Siti Hajar yang merupakan pengundi bagi Parlimen Tasek Gelugor berkata beliau bergilir dengan suaminya, Yusnirimi Yusof, 39, mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Jaya, Sungai Dua di sini bagi memastikan mereka dapat menjaga bayi perempuan dan anak lelaki berusia empat tahun.
“Kami keluar rumah pada 7.45 pagi dengan turut membawa anak-anak. Sebaik tiba di pusat mengundi (SK Permatang Tok Jaya) pada 8 pagi, suami pergi mengundi dahulu manakala saya tunggu anak-anak di dalam kereta.
“Sebaik suami selesai, saya pula pergi mengundi. Dari awal saya telah maklumkan kepada suami memang saya nak pergi juga (mengundi hari ini) walaupun dalam pantang kerana menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi,“ katanya yang ditemui pemberita selepas mengundi di situ.
Siti Hajar yang menetap di Kampung Tok Jaya berkata beliau bersyukur kerana mendapat sokongan suami untuk keluar mengundi hari ini.
“Saya bersalin secara normal dan badan semakin sihat hari ini, sebab tu bersemangat nak datang juga mengundi. Lagipun Alhamdulillah saya diberikan laluan khas selepas memaklumkan kepada petugas bahawa saya dalam pantang sekarang ini,“ katanya.-Bernama

