KUALA LUMPUR – Seorang guru dari Johor Bahru bergelar jutawan selepas memenangi hadiah utama bernilai RM1 juta menerusi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus yang diumumkan pada Majlis Raikan Jutaan Ganjaran.
Pada majlis yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat itu, Low Hui Yong, 58, diumum sebagai pemenang Cabutan Jutawan Rizq Plus bagi suku tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, cabutan berkenaan merupakan sebahagian daripada struktur hadiah dan ganjaran baharu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM10.8 juta.
Menurutnya, inisiatif itu menyasarkan penghasilan seorang jutawan baharu pada setiap suku tahunan.
"Ini merupakan pengumuman jutawan Bank Rakyat yang keempat secara keseluruhan sejak Akaun Pelaburan-i Rizq Plus diperkenalkan pada tahun 2022.
"Sejak itu, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus terus menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelanggan di seluruh negara," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut meraikan pemenang kempen Bank Rakyat yang lain.
**media[3532559]**
Dalam pada itu Ahmad Shahril menjelaskan, pencapaian tersebut secara tidak langsung mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap produk pelaburan yang ditawarkan oleh Bank Rakyat.
Selain itu ujarnya, ia membuktikan bahawa perancangan kewangan yang bijak serta pelaburan secara berdisiplin mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang.
"Suka juga untuk saya kongsikan bahawa pencarian jutawan Rizq Plus tidak terhenti di sini kerana cabutan jutawan seterusnya akan berlangsung pada Julai 2026," katanya.
Dalam majlis sama, turut diraikan pemenang lain termasuk Fifi Ann Madawan dari Kelana Jaya yang memenangi Cabutan Bulanan bernilai RM20,000 serta Nafizah Ahmad Mokhtar dari Bangsar yang membawa pulang eGold bernilai RM15,000 bagi kategori 50 Plus Draw.
**media[3532561]**
Sementara itu, kempen 'We’ll Take You There' yang melibatkan empat produk utama Bank Rakyat turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM330,000.
Bagi kempen tersebut, Izwan Idris dari Pahang memenangi hadiah utama sebuah kereta elektrik MG S5, manakala Muhammad Jamil Abas dari Sarawak membawa pulang pakej kelengkapan rumah bernilai RM30,000.
Anis Suraya Che Ab Kadir dari Pahang pula memenangi pakej percutian ke Norway bernilai RM20,000.
Selain itu, Mohd Azri Arifin dari Kelantan diumumkan sebagai pemenang hadiah utama sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 5 menerusi Kempen Pembiayaan Khas untuk Sektor Awam.

