Guru Dari Keningau Ini Tersenarai Dalam Anugerah Guru Cambridge 2025

4 Apr 2025 • 3:50 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Ikon Pendidikan Vokasional dari Sabah ke Pentas Dunia

Guru Dari Keningau Ini Tersenarai Dalam Anugerah Guru Cambridge 2025. Seorang guru dari Keningau Vocational College (KVC), Vienny Balakrishnan, mencipta sejarah apabila berjaya tersenarai sebagai salah seorang daripada 90 calon seluruh dunia untuk Cambridge Dedicated Teacher Awards 2025 – satu pengiktirafan berprestij peringkat antarabangsa.

Lebih membanggakan, Vienny, 32, merupakan satu-satunya anak jati Sabah yang tersenarai dalam kategori Asia Tenggara dan Pasifik. Beliau turut bersaing bersama tiga lagi guru dari Malaysia dalam kategori serantau tersebut.

image is not available

Anak Sabah Cipta Nama di Cambridge Dedicated Teacher Awards

Senarai calon yang layak diumumkan secara rasmi oleh pihak penganjur, Cambridge University Press, pada 2 April 2025 dan boleh diakses di laman web rasmi anugerah ini: dedicatedteacher.cambridge.org/entries.

Dari Bilik Darjah ke Dunia

Sebagai guru kosmetologi di KVC, semangat dan dedikasi Vienny terhadap pendidikan amat mengagumkan. Beliau bukan sahaja mengajar kemahiran teknikal, tetapi turut menyuntik nilai sosial dan alam sekitar dalam pengajaran – menjadikan pelajar beliau bukan sekadar mahir, tetapi juga usahawan sosial yang peka terhadap perubahan iklim.

Antara inisiatif kreatif yang dijalankan termasuk memandu pelajar menghasilkan produk bernilai komersial daripada bahan buangan organik dan boleh guna semula. Hasilnya? Pelajar beliau bukan sahaja berinovasi tetapi juga menjuarai pertandingan.

Salah satu projek berjaya melibatkan pembuatan bangku kecantikan daripada plastik, kertas dan pakaian terpakai – memenangi RM3,000 dalam pertandingan peringkat negeri. Satu lagi kumpulan pula mencipta penggosok kaki daripada tongkol jagung terbuang, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300.

Lebih penting, inisiatif ini membuahkan impak berpanjangan – semakin ramai pelajar KVC kini memulakan perniagaan sosial mereka sendiri, menghasilkan produk upcycled yang membawa manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Sokongan Padu Dari Pihak Kolej

Pengarah KVC, Lumang Anak Lang, mengucapkan tahniah kepada Vienny atas pencapaian luar biasa ini. Beliau menyifatkan usaha Vienny sebagai selaras dengan matlamat pendidikan vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia – melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi berjiwa usahawan.

Pemenang bagi sembilan kategori serantau akan diumumkan pada 23 April 2025, dan kesemua pemenang akan bersaing untuk gelaran Juara Global bagi anugerah ini.

Semoga kejayaan Vienny menjadi inspirasi buat lebih ramai guru dan pelajar di seluruh negara untuk berfikir di luar kotak, berbakti kepada masyarakat dan memperjuangkan kelestarian alam sekitar.