Guru didakwa dua pertuduhan amang seksual pelajar lelaki di bilik hotel

24 Jun 2026 • 1:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guru didakwa dua pertuduhan amang seksual pelajar lelaki di bilik hotel
Tertuduh (tengah) dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu atas dua pertuduhan amang seksual pelajar 13 tahun, awal bulan ini.
Image from: Guru didakwa dua pertuduhan amang seksual pelajar lelaki di bilik hotel
Muhammad Izzuddin (tengah) mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

KUALA TERENGGANU – Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, awal Jun lalu.

​Tertuduh, Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

​Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga guru kontrak didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun satu bulan, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama.

​Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, kira-kira jam 8 pagi pada 4 Jun lalu.

​Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 14(d) akta yang sama.

​Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

**media[3560752]**

​Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

​Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Jertih, Besut pada setiap awal bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Aishah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved